|
|
|
Ahmad Said memetik buah nanas yang dihasilkan oleh Projek Kelompok Tanaman Nanas Kampung Bukit Kecil, Chalok, Setiu, semalam. |
SETIU 7 Jun (Utusan Malaysia)- Kerajaan negeri akan memajukan kira-kira 1,000 hektar kawasan terbiar dengan mengusahakan tanaman kelapa pandan untuk memberi pendapatan sampingan kepada golongan miskin di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, buat masa ini kerajaan negeri telah mengenal pasti satu kawasan seluas 300 hektar di Setiu bagi melaksanakan projek tanaman kelapa pandan itu.
Menurutnya, projek berkenaan dijangka dilaksanakan pada tahun ini dan ia diagihkan kepada para penduduk terutama daripada keluarga miskin di sekitar kawasan itu.
Beliau berkata, pihaknya turut mengenal pasti beberapa tanah terbiar di kawasan lain di negeri ini untuk penanaman kelapa pandan yang boleh memberi pulangan pendapatan agak lumayan.
”Kelapa pandan mampu mengeluarkan hasil antara tiga hingga empat tahun selepas ditanam dan mengikut harga pasaran sekarang buah kelapa itu boleh dijual sehingga harga RM1.50 sebiji.
”Dengan pelaksanaan projek ini di kawasan terbabit kerajaan negeri secara tidak langsung dapat membantu penduduk kampung yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Projek Berkelompok Tanaman Nanas Kampung Bukit Kecil, Chalok, dekat sini semalam.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Asha’ari Idris.
Ahmad berkata, setiap peserta yang berjaya dipilih menyertai projek berkelompok kelapa pandan akan diberi kawasan yang ditanami dengan pokok itu seluas satu hektar.
Menurutnya, apabila kelapa pandan itu matang ia mampu memberi pendapatan kepada para peserta terbabit melebihi RM1,200 sebulan.
”Kita melihat projek ini bukan sahaja dapat membantu golongan miskin dalam meningkatkan pendapatan keluarga mereka tetapi kerajaan juga dapat memajukan tanah terbiar dengan tanaman yang boleh memberi manfaat kepada mereka,” katanya.
Oleh ADNAN MOHAMAD – utusanterengganu@utusan.com.my





Blog "The Sulaimanian"
Selamatkan Warisan Sejarah Trengganu
Save Our Historical Heritage
wah, penjelasan bapak tentang kelapa pandan sangat jelas sekali, bagus Pak.
Terima kasih. (http://tric06.student.ipb.ac.id)