Perahu Besar Terengganu

SEBUAH kren digunakan untuk memasang tiang layar perahu besar yang dikenali sebagai ‘Sabar’ ketika kerja-kerja konservasi dilakukan ke atas perahu berkenaan di Muzium Negeri, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU 23 Jun (Utusan Malaysia)– Perahu Besar memainkan peranan penting dalam tamadun maritim dan warisan budaya unggul Terengganu dalam bidang kelautan.

Perahu Besar telah digunakan sejak abad ke-18 dan pernah dimiliki oleh sultan- sultan Terengganu iaitu Sultan Mansur I dan Sultan Mansur II.

Selain digunakan sebagai pengangkutan perdagangan dan hubungan diplomatik, ia juga pernah digunakan untuk menghantar ufti berbentuk bunga emas ke Siam pada pertengahan abad ke-18 hingga awal abad ke-20.

Malah, Perahu Besar juga berperanan dalam perkembangan perdagangan antarabangsa pada abad ke-18 dan 19 yang menjadikan Kuala Terengganu sebagai pelabuhan perdagangan antarabangsa.

Perkhidmatan terakhir Perahu Besar dalam aktiviti perdagangan ialah pada tahun 1982.

Selain itu, pembuatan Perahu Besar di negeri ini juga telah mencatat sejarahnya tersendiri dengan tiga elemen penting yang menjadi kebanggaan masyarakat Melayu Terengganu khususnya dalam bidang teknologi pembuatan perahu dan keilmuan dalam bidang pelayaran.

Dalam hubungan ini, Pengarah Muzium Negeri, Mohd. Yusof Abdullah berkata, dianggarkan kira-kira 200 hingga 300 perahu besar beroperasi di Terengganu sebelum Perang Dunia Kedua dan dua daripadanya berjaya diselamatkan yang kini di bawah penjagaan Muzium Negeri.

Justeru itu, katanya, menyedari peranannya yang sangat besar dalam tamadun maritim Terengganu dan warisan budaya yang perlu diketengahkan, kerajaan negeri melalui Muzium Negeri Terengganu buat julung kalinya menjalankan kerja-kerja konservasi yang lengkap dengan dokumentasi dilaksanakan ke atas dua perahu besar.

“Perahu Sabar T.82 dan Perahu Kemajuan T.65 kini dalam proses kerja-kerja konservasi yang telah dimulakan sejak November lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei tahun depan.

“Kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan kira-kira RM3 juta bagi kerja-kerja membaik pulih dengan menjadikannya kepada bentuk yang asal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusof berkata, kerja-kerja konservasi itu dijalankan dengan berhati-hati dengan mengekalkan bahan asal yang masih boleh digunakan dan jika ada yang perlu digantikan ia tetap menggunakan bahan atau jenis kayu yang asal bagi mengekalkan keaslian perahu tersebut.

Katanya, sebuah kontraktor tempatan yang mahir dalam industri pembuatan perahu telah dilantik untuk menjalankan kerja-kerja tersebut bagi memastikan pemulihan Perahu Besar yang bersejarah itu memperlihatkan keasliannya.

KERJA-kerja konservasi giat dilakukan ke atas ‘Sabar‘ di Muzium Negeri, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

“Projek konservasi perahu ini diusahakan sebagai tanda penghargaan generasi hari ini kepada generasi terdahulu.

“Malah melalui projek ini akan menambahkan lagi projek penyelamatan khazanah warisan untuk tatapan seluruh masyarakat terutama kepada generasi hari ini dan akan datang,” katanya.

Mohd. Yusof berkata, Perahu Besar yang diberi nama Sabar merupakan jenis Pinis Dogol yang didaftar pada 1954 dan dipercayai mula dibina pada 1925 dengan mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.

Katanya, Perahu Besar tersebut dipercayai memulakan pelayaran pertama menuju Siam (Thailand) untuk membawa balik garam dan beras.

“Ia dijual kepada Muzium Negeri pada 1982,” kata Mohd. Yusof sambil menambah, Perahu Besar Kemajuan pula mula dibina pada 1946 selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu adalah kepunyaan Nik Muhammad Kaya dan Long Su.

Katanya, perahu tersebut dipercayai mengalami proses pembinaan selama lapan bulan dan memulakan pelayarannya yang pertama menuju Ban Lerm, sebuah pelabuhan di Selatan Siam (Thailand) untuk mengangkut garam pada 1947.

Perahu Besar Kemajuan kemudian dijual kepada Muzium Negeri pada 1982 untuk dijadikan warisan pelayaran orang-orang Melayu di Terengganu pada suatu masa dulu.

Mohd. Yusof berkata, sebelum ini kedua-dua perahu itu dipamerkan di bahagian maritim di Muzium Negeri untuk tatapan pengunjung yang melihat dari luar sahaja.

Menurut beliau, yang uniknya, pelayaran Perahu Besar yang menggunakan layar tanpa kompas mampu berlayar ke destinasi yang ditetapkan dengan berpandukan bintang dan angin untuk menggerakkan Perahu Besar belayar.

Katanya, memandangkan perahu tersebut mempunyai nilai-nilai sejarahnya kerajaan negeri melalui Muzium negeri mengambil langkah tertentu untuk memberi peluang kepada pengunjung agar dapat melihat lebih dekat dan merasainya sendiri pengalaman ketika berada dalam dalam perahu tersebut.

Sehubungan itu, katanya, kerja-kerja konservasi dilakukan dengan teliti bagi mengekalkan pembuatan yang asal dan apabila siap nanti, pengunjung boleh melihat dengan lebih dekat malah dapat memasuki bahagian dalam perahu tersebut.

Katanya, usaha yang dilakukan oleh pihak muzium adalah untuk memulihara dan menyelamatkan sejarah seharusnya diiktiraf oleh generasi hari ini dan akan datang kerana melalui sejarah, masyarakat lebih memahami dan mengenali diri sendiri.

Oleh TENGKU FAUZIAH NGAH -utusanterengganu@utusan.com.my

Baca juga: Keistimewaan kapal layar Haji Lah

About these ads

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Berita, Permandangan, Pelancongan & Rekreasi, Warisan. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s