Cabaran fotografi laut, darat

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB – utusanterengganu@utusan.com.my
Salah satu sudut panorama indah di Pulau Tenggol, Terengganu.

KUALA TERENGGANU 4 Mei – Bermula dengan Seashutterbug pada 2008, beralih kepada Perhentian Underwater Challenge, disusuli Redang Underwater & Island Challenge, pertandingan fotografi dasar laut dan darat untuk siri keempat diteruskan lagi.

Fokus kali ini kepada program Tenggol Underwater & Island Challenge 2011 bagi mengetengahkan satu lagi pulau yang menjadi permata negeri ini iaitu Tenggol yang kaya dengan keindahan dan kepelbagaian wajahnya ke persada dunia melalui lensa kalangan profesional.

Kejayaan besar tiga siri pertandingan terdahulu membuatkan penaja utama iaitu Kementerian Pelancongan, kerajaan negeri dan Tourism Malaysia memberi keyakinan kepada persatuan tersebut untuk meneruskan pertandingan yang memberikan mereka satu bank foto.

Seperti tiga siri lalu, program selama tiga hari bermula 6 Mei ini yang dianjurkan oleh Persatuan Pemuliharaan Terumbu Karang Malaysia (Coral Malaysia) terus mendapat sokongan dan bantuan daripada Universiti Malaysia Terengganu.

Selepas berjaya menaikkan nama Pulau Perhentian dan Pulau Redang melalui tiga siri terdahulu, Exco kerajaan negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib meminta persaingan musim baru ini diadakan di Tenggol.

“Selepas melihat sendiri impak program ini untuk mempromosi keindahan dasar laut dan pulau-pulau indah di Terengganu, saya terpanggil untuk meminta Coral Malaysia mengadakan projek yang sama di Tenggol.

“Tenggol adalah sebuah pulau milik persendirian yang hanya mempunyai tiga operator. Kerana itu promosi untuk menceritakan keindahannya agak kurang berbanding Perhentian, Redang, Kapas atau Lang Tengah.

“Ini adalah satu daripada cara untuk mempromosi imej serta keindahan Tenggol kepada dunia, terutama di kalangan penyelam scuba. Apa lagi saya juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau Abang dan pulau ini terletak dalam kawasan saya,” kata Za’abar.

Sebuah pulau kecil, dimiliki pusat peranginan persendirian, cabaran di Tenggol terutama bagi jurugambar dasar laut adalah sesuatu yang amat dinantikan.

Berbeza dengan suasana Perhentian dan Redang yang lebih tenang, dasar laut Tenggol menjanjikan kelainan berikutan ia lebih terkenal dengan arus yang lebih kuat di samping hidupan laut yang jika bernasib baik akan menampilkan jerung paus yang memang menjadi idaman setiap penyelam.

Persaingan tiga hari dengan sekurang-kurangnya enam aktiviti menyelam, diharap akan memberi peluang kepada jurugambar untuk merakam pelbagai spesies hidupan laut yang menarik, tidak kira sama ada dalam bentuk mikro atau makro.

Selain jerung paus, pari, lintah laut yang popular di kalangan penyelam, Tenggol turut menjanjikan pelbagai jenis terumbu karang – baik karangan keras, mahupun lembut. Antara tapak selaman yang popular adalah Tanjung Api, Tokong Timur, Tokong Laut, Tanjung Gemuk dan Pulau Nyireh.

Ramai penyelam sukakan Pulau Tenggol kerana ia menjanjikan cabaran lebih menarik berbanding pulau lain di Terengganu. Selain daripada arus agak kuat, kawasan yang lebih terlindung daripada kebanjiran pelancong ini menjadi habitat kepada pelbagai hidupan marin yang lebih segar.

Antara spesies yang menjadi idaman penyelam scuba adalah ikan paus yang menjadikan Tenggol dan beberapa pulau di Terengganu sebagai laluannya.

“Jika ramai penyelam ke Sipadan untuk melihat penyu silih berganti atau ke Bali semata-mata untuk tengok mola-mola, sudah tiba masanya kita mempromosi Pulau Tenggol dengan ikan jerungnya,” kata Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Terengganu, Fathil Abdul Ghani.

Bagi penyelam baru seperti Mohd. Nasir Khusairi yang juga Pengarah Tourism Malaysia Terengganu dan Mohd. Shahrom Nik Hashim, Penolong Setiausaha (Pelancongan) negeri, cerita mengenai selaman lebih mencabar di Tenggol sudah pasti dinantikan.

“Saya baru tiga bulan di Terengganu dan baru mendapat lesen menyelam, justeru selepas Bidong, Tenggol akan menjadi cabaran pertama untuk menguji prestasi saya sebagai penyelam.

“Tapi jauh lebih penting, pertandingan ini yang turut diserta kumpulan media massa adalah antara usaha terbaik untuk mempromosi keindahan Tenggol,” kata Nasir.

Bagi Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, kesukaran kerajaan negeri mendapat gambar untuk bahan promosi, membuatkan pihaknya tidak teragak-agak untuk meluluskan sejumlah peruntukan.

“Pertandingan seperti ini akan memberi Kerajaan Negeri ‘bank foto’ untuk digunakan bagi tujuan promosi di dalam dan luar negara. Sudah tiba masanya kita mendapat gambar daripada kaca mata pelbagai peringkat, daripada professional kepada amatur.

“Apa lagi seperti tahun sebelum ini, Coral Malaysia akan mempamerkan gambar-gambar yang diambil ini di Malaysia International Diving Exhibition di Kuala Lumpur,” katanya merujuk kepada pameran yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai 1 hingga 3 Julai nanti.

Tenggol, pulau kecil di Laut China Selatan hanya menjanjikan laut biru dan pasir pantai yang putih bersih. Justeru, bagi jurugambar darat tidak banyak cabaran yang boleh dicarta di pulau kecil ini.

Dengan hadiah utama bernilai RM5,000, bagi juara kategori dasar laut dan RM3,000 bagi jurugambar darat, pertandingan ini masih mencatat nama sebagai antara cabaran paling menarik yang diadakan di Malaysia setakat ini.

Pertandingan itu diharap dapat menyumbang kepada proses konservasi laut dengan lebih efektif. Rakaman keindahan dasar laut, pulau dan pantai akan memberi kesedaran betapa proses pembangunan hari ini telah mencetus isu hakisan yang semakin serius.

Ini adalah satu daripada usaha Coral Malaysia dengan bantuan semua pihak terbabit untuk mencetus kesedaran betapa perlunya program pemuliharaan alam ditingkat pada setiap peringkat.

Mereka yang berminat untuk menyertai Tenggol Underwater & Island Challenge ini boleh melayari laman web – http://www.coralmalaysia.com atau email kepada info_coralmalaysia@yahoo.com.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Azrul Azwad – 016-3391002 begin_of_the_skype_highlighting              016-3391002      end_of_the_skype_highlighting atau Sham Hosni – 012-5359904 begin_of_the_skype_highlighting              012-5359904      end_of_the_skype_highlighting.

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Berita, Permandangan, Pelancongan & Rekreasi. Bookmark the permalink.

Leave a comment