Terharu layanan ‘istimewa’ doktor

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB dan TENGKU FAUZIAH NGAH utusanterengganu@utusan.com.my

Muhammad Ramli Noh (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan Bantuan Dana Khas Kebajikan Sosial Perubatan Kerajaan Negeri Terengganu kepada Arifin Yusof untuk membiayai kos rawatan anaknya, Ahmad Anuar, sambil diperhatikan Dr. Mohamad Omar (tengah) di Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

 

KUALA TERENGGANU 24 Mei – Ketika Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) negeri, Dr. Mohammad Omar menjengahnya bersama pakar kulit Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr. Chong Yew Thong, Md. Rahim Jatim bagaikan kehilangan kata-kata seketika.

Dia seperti tidak percaya mereka sanggup datang ke rumahnya dan ketika itu juga air mata lelaki berusia 57 tahun itu bergenang sewaktu menggenggam erat tangan dan kemudiannya memeluk mereka.

Berulang kali juga dia mengucapkan terima kasih kepada Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Razali Idris dan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Toh Puan Rosnani Ngah yang membawa kedua-dua doktor itu ke rumahnya.

Posted in Berita, Kekeluargaan, Sosial & Masyarakat | Leave a comment

Terengganu sumbang RM1j bantu pusat dialisis

KEMAMAN 24 Mei Utusan- Kerajaan negeri menyumbang sebanyak RM1 juta bagi Pusat Dialisis Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF)-Yayasan Buah Pinggang Kemaman (YBPK) yang dirasmikan di sini hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kewujudan pusat itu memberi makna yang besar bagi membantu memudahkan pesakit menjalani rawatan, di samping mengurangkan bebanan kewangan mereka dan keluarga.

“Sebahagian besar pendapatan digunakan dan pesakit jatuh miskin. Malahan terdapat juga kes pesakit terpaksa menjual tanah untuk menampung kos rawatan yang tinggi dan kos perjalanan ulang alik ke hospital,” ujarnya.

Kata beliau, pusat ini diwujudkan sebagai tambahan kepada kemudahan serupa di Hospital Kemaman (HK) yang tidak lagi mampu menampung keperluan semasa.

“Tetapi kawasan terhad di HK membataskan kita untuk menambah mesin yang diperlukan dan akhirnya kita buat keputusan untuk menggunakan bangunan terbengkalai di Teluk Mak Nik,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian tersebut.

Posted in Berita, Kekeluargaan, Sosial & Masyarakat, Kerajaan & Pentadbiran, Kesihatan & Kebersihan | Leave a comment

Terengganu peruntuk RM1.5 juta bantu persediaan pelajar ke IPT

KUALA TERENGGANU 23 Mei (Utusan)- Kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM1.5 juta untuk diagihkan kepada 2,577 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai bantuan persediaan ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM925,500 diagihkan kepada 1,851 pelajar yang akan melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi di Semenanjung manakala RM4,000 lagi diagihkan kepada lima pelajar yang akan ke Sarawak.

“Bagi peringkat diploma pula, sebanyak RM537,000 diagihkan kepada 716 pelajar di Semenanjung manakala RM5,250 lagi kepada lima pelajar yang menyambung pengajian peringkat sama di Sarawak,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penyampaian bantuan persediaan Yayasan Terengganu (YT) ke IPT peringkat matrikulasi dan diploma di sini hari ini.

Posted in Berita, Kerajaan & Pentadbiran, Pendidikan | Leave a comment

Khidmat Masyarakat 1Malaysia Kuala Nerus

KUALA TERENGGANU 23 Mei (Utusan) – Pejabat Ahli Parlimen Kuala Nerus akan menganjurkan program Khidmat Masyarakat 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tunggal dekat sini Jumaat ini.

Program sehari yang akan bermula pada pukul 8 pagi itu, digerakkan dengan kerjasama Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Yayasan Felda.

Pejabat itu dalam satu kenyataan memberitahu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri akan merasmikan program tersebut yang bakal turut dilawati Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pada sebelah petangnya.

Melalui program yang turut dimeriahkan dengan jamuan rakyat, orang ramai boleh menjalani pemeriksaan kesihatan percuma, pemeriksaan mata dan menderma darah di samping pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.

Posted in Berita, Kekeluargaan, Sosial & Masyarakat | Leave a comment

Pitam anak mandi darah

Oleh Khairul Hamizy Ramlee am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: “Saya nyaris pitam melihat anak bermandi darah dan meraung meminta tolong.

“Walaupun takut melihat darah bercucuran dari kepalanya, saya kuatkan semangat mengangkat dan membawanya ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan,” kata Asmah Lokman, 41, menceritakan detik cemas selepas anaknya, Mohd Syafiq Naim Mustakin Saifudin, 10, terjatuh dari tingkat atas rumah kakaknya di Kampung Jelang, Hulu Terengganu, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Kua, Kuala Berang itu dikatakan terjatuh selepas tergelincir ketika bermain bersama kakak dan sepupunya di beranda tingkat atas rumah dua tingkat milik ibu saudaranya itu.

Kakak mangsa, Nor Diana, 13, dikatakan cuba mencapai tangan adiknya, tetapi gagal kerana kejadian berlaku terlalu pantas.

Asmah ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam berkata, dia tidak boleh melupakan kejadian yang hampir meragut nyawa anak bongsunya itu.

Posted in Berita, Kekeluargaan, Sosial & Masyarakat | Leave a comment

Penganggur dera Danish didakwa

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM amir.azam@kosmo.com.my

KUALA TERENGGANU – Seorang penganggur yang mempunyai 10 rekod jenayah membabitkan kes curi, rusuhan dan dadah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan cuba membunuh anak kekasihnya dengan mendera mangsa sehingga koma pada bulan lalu.

Azhar Jusoh (gambar kecil), 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris.

Berikutan kejadian dera itu juga, tertuduh bersembunyi lebih tiga minggu sebelum dia berjaya ditahan di warung ibunya di Kampung Tualang, Manir di sini pada 16 Mei lalu.

Azhar didakwa mendera dengan menampar di bahagian muka dan kepala menggunakan tangan dengan niat menyebabkan kematian Muhamad Danish Aiman Abdullah, 2.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah bernombor 204, Kampung Tualang, Manir pada pukul 9 malam pada 20 April lalu.

Azhar berhadapan dakwaan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun kerana cubaan membunuh.

Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Wan Fadhilah menetapkan 27 Jun depan ini untuk sebutan kes dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Posted in Berita, Jenayah & Mahkamah, Kekeluargaan, Sosial & Masyarakat | Leave a comment

Penyamun Mati Setelah Terjun Ke Dalam Longkang Untuk Selamatkan Diri

KUALA TERENGGANU, 22 Mei (Bernama) — Seorang lelaki maut dipercayai lemas apabila terjun ke dalam longkang ketika melarikan diri setelah terkejut disergah pemilik rumah yang cuba dipecah masuknya, awal Selasa.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi, lelaki berumur 29 tahun yang berasal dari Kuantan, Pahang itu cuba memecah siling rumah milik bekas tentera di Jalan Alamanda, Bandar Baru Bukit Mentok, Kemaman, namun perbuatannya itu disedari pemilik rumah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata pemilik rumah berkenaan yang keluar ke halaman setelah mengesyaki rumahnya cuba dipecah masuk, ternampak kelibat penyamun di atas bumbung.

Katanya pemilik rumah yang merupakan bekas anggota tentera berumur 43 tahun itu menyergah suspek yang menyebabkan suspek terkejut dan melarikan diri dengan terjun dari bumbung rumah berkenaan.

“Ketika melarikan diri, suspek terjun ke dalam longkang besar tidak jauh dari rumah itu dan ketika terjun, kepalanya dipercayai terhantuk ke dinding konkrit longkang yang dipenuhi air separas pinggang menyebabkannya terus tenggelam,” katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

– BERNAMA

Posted in Berita, Jenayah & Mahkamah | Leave a comment