Growing Up in Trengganu + A Map of Trengganu by Awang Goneng

Dapatkan naskah anda/Order your copy now:

Growing Up in Trengganu

(RM39.90/naskah

– USD15.95/copy)

A Map of Trengganu

(RM35.90/naskah

– USD15.95/copy)

 

SMS: 019-3199-788

EMAIL: akarimomar@yahoo.com (a.k.a The Pizzaman)

DELIVERY/PENGHANTARAN:

  • RM10.00 (senaskah) – mana-mana lokasi di Malaysia
  • tambah RM4.00 untuk setiap naskah tambahan).

Harap Maklum.

Baca artikel berkaitan:

Yang berkaitan buku-buku tulisan Awang Goneng:

Posted in Kekeluargaan, Kesenian & Kebudayaan, Makanan & Masakan, Pelancongan & Rekreasi, Permandangan, Sosial & Masyarakat, Warisan | Leave a comment

Kuala Terengganu Yang Berubah Wajah

dari: http://akarimomar.wordpress.com/2011/12/16/kuala-terengganu-yang-berubah-wajah/

Adakalanya kita ingin melihat pembangunan dengan pembaharuan terhadap lanskap sesuatu kampung atau bandar. Namun, dalam mengejar pembangunan material ini, ianya mengorbankan keindahan semulajadi dan menghilangkan tinggalan warisan senibina dan usaha orang-orang dahulu.

Anehnya kita mempromosi pelancongan dengan tema “Terengganu – Where Nature Embraces Heritage” – mana perginya “heritage” apabila semuanya dimusnahkan? Mereka seolah-olah hilang fokus. Yang perlu dibaiki kerana usang dibiarkan mencemar permandangan. Yang bersejarah dan dijaga keindahannya dikatakan usang (dan ini).

Hilangnya deretan bangunan-bangunan lebih 100 tahun usianya di Kedai Payang/Jalan Bandar sukar untuk saya lupakan. Usaha-usaha terakhir kamiuntuk menyelamatkan bangunan sejarah (hingga tercetusnya blog ini:http://warisantrengganu.wordpress.com/tidak diendah dan dilayan olehmereka yang duduk di kerusi empuk. Mereka yang hanya bersenang di bilik berhawa dingin tidak bersedia mendengar keluhan para peniaga yang diarah berpindah dengan tempoh yang tergesa-gesa. Maka satu persatu sejarah dilupuskan demi mencari keindahan baru.

Saya kongsikan di sini beberapa keping gambar dari poskad yang masih tersimpan sebagai kenangan bersama.

Continue reading

Posted in Permandangan, Pelancongan & Rekreasi, Rencana, Warisan | Tagged , , , , , | 2 Comments

Fosil dinosaur berusia ratusan juta tahun ditemui di Terengganu

MENTERI Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman bertanya sesuatu

MENTERI Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman bertanya sesuatu mengenai fosil tulang dan gigi dinosaur yang dijumpai kepada Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Datuk Yunus Abdul Razak (kiri) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. – fotoBERNAMA

KUALA TERENGGANU 16 Nov. – Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman hari ini mengumumkan penemuan fosil dinosaur berusia Jura-Kapur di sekitar Gunung Gagau di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Katanya, penemuan itu diperoleh hasil ekspedisi Gagau-Menjejak Dinosaur 2014 selama 10 hari bermula 13 Oktober lepas yang dilaksanakan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan Kumpulan Warisan Geologi Malaysia (KWGM).

Ekspedisi itu disertai tujuh penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Malaysia Kelantan, dua kakitangan pegawai Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu serta 10 pegawai Geosains, katanya.

Ahmad Razif berkata, ekspedisi itu menemui dua fosil gigi, beberapa kesan tapak kaki dari enam kawasan dan empat tulang dinosaur dari kumpulan Theropod serta Sauropod dan dinosaur spesies Iguanodon di Sungai Chichir, Gunung Gagau.”Gunung Gagau terletak di sempadan Terengganu-Kelantan-Pahang yang mana ekspedisi berkenaan turut menemui fosil tumbuhan, kayu terpetri dan singkapan batu arang di Sungai Pertang.

“Alhamdulillah, dengan penemuan ini saya yakin ia akan memberi kekuatan dan tambah nilai ke arah merealisasikan hasrat untuk menjadikan Geopark Tasik Kenyir sebagai Geopark Kebangsaan dan diiktiraf sebagai Geopark Global Unesco,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman di sini hari ini. – BERNAMA -

Posted in Alam sekitar & konservasi, Warisan | Leave a comment

320 unit rumah teres PPRT untuk rakyat miskin

Ahmad RAZIF ABDUL RAHMAN (tengah) bersama penerima kunci serta KUALA TERENGGANU 5 Nov. (Utusan) – Kerajaan negeri akan membina sejumlah 320 unit rumah teres Projek Perumahan Rak­yat Termiskin (PPRT) yang dilengkapi pelbagai kemudahan asas secara percuma kepada rakyat miskin pada tahun depan. Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, ketika ini beberapa lokasi sesuai sudah dikenal pasti untuk pembinaan 10 buah rumah di setiap 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dianggarkan bernilai kira-kira RM40,000 seunit itu.

Katanya, menerusi usaha di ba­wah agenda Transformasi Terengganu Baharu (TTB) itu, Terengganu menjadi satu-satunya negeri yang melaksanakan konsep rumah teres PPRT secara percuma kepada orang miskin untuk membantu golongan kurang berkemampuan memiliki kediaman sendiri.

“Kita akan bina rumah PPRT menggunakan konsep baharu yang lebih selesa serta lengkap dengan infrastruktur asas termasuk taman permainan, surau dan lain-lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran Rumah Mampu Milik (RMM) Hamparan Permai di Batu Hampar, Manir, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari merangkap Ahli Parlimen Hulu Terengganu dan Yang Dipertua DUN, Datuk Mohd. Zubir Embong. Pada majlis itu sebanyak 172 pe­nerima fasa pertama daripada kese­luruhan 437 unit RMM itu menerima kunci kediaman masing-masing yang bernilai RM68,000 seunit.

Ahmad Razif memberitahu, selain pembinaan kemudahan asas, pihaknya turut merancang pelbagai aktiviti perniagaan menerusi pembangunan kedai-kedai di kawasan sekitar PPRT itu bagi menjana ekonomi dan kebajikan penduduk miskin. Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri akan membina sejumlah 10,000 unit RMM lagi pada tahun depan sejurus selepas kerja-kerja pengagihan RMM sedia ada diselesaikan akhir tahun ini.

Menurutnya, ketika ini terdapat kira-kira 2,000 unit RMM yang telah siap dibina di lapan lokasi seluruh negeri dan akan diagihkan kepada rakyat dalam masa terdekat. “Kita akan selesaikan agihan semua rumah tahun ini juga dan saya juga sudah arahkan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menyemak semula senarai pemohon yang layak tetapi belum mendapat rumah untuk diberi pertimbangan lanjut,” katanya.

Posted in Kekeluargaan, Sosial & Masyarakat, Kerajaan & Pentadbiran | Leave a comment

Kompleks Paya Bunga beroperasi Disember

Kompleks Paya Bunga di tengah-tengah pusat bandaraya Kuala Terengganu

Kompleks Paya Bunga di tengah-tengah pusat bandaraya Kuala Terengganu akan dibuka kepada orang ramai mulai bulan depan. – UTUSAN/AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU 2 Nov. (Utusan Malaysia) – Tanda-tanya mengenai bila Kompleks Paya Bunga di te­ngah-tengah pusat bandaraya ini dibuka kepada orang ramai meskipun hampir 20 tahun telah siap dibina akhirnya terjawab apabila kerajaan negeri memutuskan premis itu akan mula beroperasi bulan depan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman ketika mengesahkan perkara itu berkata, ba­ngunan tersebut bakal menempatkan gedung membeli-belah selain lot-lot perniagaan untuk dinikmati penduduk negeri ini.

Beliau memberitahu, keputusan itu dibuat setelah segala pemasalahan termasuk membabitkan perundangan telah selesai dan premis ini kini dimiliki sepenuh­nya anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

“Kompleks Paya Bunga ini telah pun siap dibina pada 1995 tapi timbul masalah pemilikan dan perundangan, ma­salah ini akhirnya ber­jaya diselesaikan di lu­ar mahkamah dan kini dimiliki sepenuh­nya oleh PMINT.

“Bangunan ini akan mula ber­operasi sebelum 31 Disember ini dan akan dibuka dengan rasminya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Majlis Jasa Mu Di­kenang Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di Primula Beach Hotel, di sini hari ini. Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inova­si dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib dan Pengarah Pendi­dikan Terengganu, Zakaria Hussin. Menurut Ahmad Razif, Kompleks Paya Bunga itu juga akan menempatkan premis Chicken Cottage bagi memenuhi selera para penggemar­nya.

Katanya, keraja­an negeri turut berse­tuju membina be­be­rapa jejantas dan jamba­tan udara meng­hu­­­bungkan bangunan berse­belahan iai­tu Ter­minal Bas Maj­lis Ban­daraya Kuala Te­rengganu (MBKT) dan Paya Bunga (PB) Square yang masih dalam pembinaan. Dalam perkembangan yang sama, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri akan menaik taraf bahagian atas Terminal Bas MBKT untuk kemudahan dan ke­selasaan orang ramai.

Selain itu, katanya, stesen bas lama yang terletak berdekatan akan diroboh dan kawasan itu akan dijadikan taman berkonsepkan ‘mesra keluarga’. “Kita akan wujudkan taman mesra keluarga di samping restoran 24 jam di tapak stesen bas lama itu untuk kita pastikan bandaraya Terengganu berkonsepkan taman,” ujarnya.

Posted in Ekonomi & Keusahawanan, Kerajaan & Pentadbiran | Leave a comment

Pulau Ranggut bakal dimaju

MARANG 15 Okt. (Utusan) – Kerajaan negeri merancang untuk membangunkan Pulau Ranggut berdekatan muara Sungai Mercang dekat sini yang mempunyai daya penarik tersendiri dari sudut pelancongan sebagai pusat pertumbuhan baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, A. Latiff Awang berkata, dengan penyediaan pelbagai prasarana untuk keselesaan masyarakat di penempatan nelayan di situ di samping projek perumahan, perkedaian dan calet.

Menurut A Latiff, pulau beting pasir berkeluasan 30 hektar yang sebahagiannya diselaputi paya bakau terpisah kira-kira 100 meter dari daratan oleh lagun yang menyajikan pandangan alam semulajadi yang cantik.

“Sebahagian besar kawasan adalah milik kerajaan manakala beberapa lot tanah kepunyaan perseorangan, mengunjur dari muara sungai ke kampung Mercang.

Persekitaran agak terbiar semak samun serta paya nipah dan atas faktor itu mendorong kerajaan negeri untuk membangunkan pulau itu bagi membantu menjana ekonomi penduduk dan negeri,” ujarnya.

“Kita bercadang membangunkan pulau ini dengan mewujudkan sebuah pekan yang dilengkapi lot-perkedaian dan kediaman. Malah ada juga cadangan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung agar masjid di daratan dipindahkan ke pulau itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

A. Latiff berkata, cadangan membangunkan Pulau Ranggut itu juga selari dengan perancangan membina beting penahan ombak bagi menangani masalah air cetek di muara Sungai Merchang yang membelenggu kira-kira 300 nelayan di situ sejak sekian lama.

Menurutnya, beliau bersama Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, C. Poobalam; Pegawai Daerah Marang, Mohd. Arshad Mohamed serta seorang penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Faridah Jaffar Sidek berkesempatan meninjau kawasan berkenaan kelmarin.

Sehubungan itu, beliau berharap agar kerajaan Pusat sedia mempertimbangkan cadangan membangunkan pulau berkenaan termasuk projek mendalamkan muara sungai dan beting penahan ombak.

“Cadangan ini sudah dalam pengetahuan Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan kami berharap mendapat pertimbangan,” katanya sambil menambah, projek itu dijangka memerlukan peruntukan kira-kira RM50 juta, tidak termasuk membangunkan Pulau Ranggut.

Posted in Ekonomi & Keusahawanan, Kerajaan & Pentadbiran, Permandangan, Pelancongan & Rekreasi | Leave a comment

Nelayan buktikan semangat di laut

ORANG ramai memenuhi kawasan pinggir pantai bagi menunggu ketibaan bot-bot yang menamatkan perarakan terbesar dunia di Kemaman, baru-baru ini. UTUSAN/Mukhatar A. Rahman

KEMAMAN 16 Okt. Awal Januari tahun lalu, ketika Mustafa Abdul Rahman singgah di sebuah warung di pinggir Kuala Kemasik, sambil minum petang bersama-sama rakan-rakan, pengusahanya, Pak Jak,70, turut serta bersembang selepas menghantar pesanan.

Perbualan teralih kepada deretan bot di jeti berhampiran dan kehidupan nelayan menarik perhatian Pak Jak yang sudah sekian lama tidak turun ke laut setelah memilih untuk berniaga kecil-kecilan kerana faktor usia.

Dia mengemukakan pandangannya kepada Mustafa,59, dikenali sebagai Haji Pa Kemasik yang merupakan Pegawai Khas kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Ahli Parlimen Kemaman.

“Kenapa kita sekali-sekala tak buat satu program yang boleh orang `pandang’ kepada orang ke laut (nelayan). Tentang kerja kita cari rezeki dan hasilnya untuk manfaat semua orang di mana sahaja.

“Banyak juga yang kerajaan bantu untuk kita ubah nasib sendiri, dari bot dan enjin, subsidi minyak dan bantuan bulanan, di samping hal berkaitan keluarga. Kita boleh tunjuk terima kasih dengan cara kita kepada negara. Kita berarak di laut, bawa bendera,” kata Pak Jak yang diulang oleh Mustafa.

Kata-kata itu melekat dalam ingatan Mustafa yang kemudiannya memanjangkan kepada Ahmad Shabery yang ternyata cukup tertarik dan sedia membantu sekiranya nelayan sepakat untuk bersama-sama menjadikan cadangan tersebut sebagai suatu kenyataan.

Justeru Mustafa diminta menyelaraskan usaha itu dengan mengajak penyertaan menyeluruh masyarakat nelayan di daerah ini dan juga Dungun dengan sasaran pelaksanaan pada musim sambutan Bulan Kemerdekaan.

Bagi Mustafa, semangat yang ditunjukkan oleh masyarakat nelayan amat luar biasa dan akhirnya pada 1 September tahun lalu, sejumlah 278 bot bersama-sama 1,000 nelayan dengan kibaran 5,000 Jalur Gemilang menyertai perarakan sejauh 55 kilometer.

Ahmad Shabery Cheek (tiga dari kiri) menerima sijil pengiktirafan daripada wakil Guinness World Records, Fortuna Burke (tiga dari kanan) di Dataran Kemaman, baru-baru ini.

Perarakan itu mencipta sejarah dengan catatan dalam Malaysia Book of Records sebagai perarakan terbesar bot di negara ini yang mendorong Ahmad Shabery mencadangkan program yang lebih besar agar masyarakat nelayan, Terengganu dan negara turut menempa nama di peringkat dunia.

Bagi Ahmad Shabery, langkah itu pastinya menarik tumpuan media antarabangsa dan secara tidak langsung mampu memberi impak yang besar dari sudut pelancongan.

Tarikh yang ditetapkan 13 September lalu dan sekretariat yang dibentuk memikul tanggungjawab lebih sukar bagi mengumpulkan sekurang-kurangnya 900 buah bot dan pada masa yang sama menarik penglibatan sektor swasta menyokong pembiayaan program itu.

“Setelah hampir setahun mengatur perancangan, menjelang tarikh tersebut, pihak sekretariat menerima pengesahan 1,500 bot untuk turut serta dan ini buatkan kami menggaru kepala, apabila ramai yang mulai rasa kecewa dengan jumlah penyertaan dihadkan agar tidak melibatkan lebih banyak kos.

“Bagi tidak mengecewakan ramai nelayan, kita tingkatkan jumlahnya dan pada tarikh yang ditetapkan, sejumlah 1,180 bot nelayan dengan kibaran 12,000 Jalur Gemilang dari Kuala Dungan ke Kuala Kemaman sejauh 78 kilometer, mencipta sejarah sebagai perarakan terbesar bot dunia,” ujar Mustafa.

Dengan penyertaan lebih 6,000 nelayan, khususnya dari Dungun dan Kemaman, di samping yang berlepas dari Sungai Ular, Chendor dan Cherating Pahang, program itu mengatasi rekod yang dicatatkan di Sungai Thames London pada tahun 2012 yang melibatkan 670 bot ketika itu.

Bersesuaian dengan tema sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57, `Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’, golongan nelayan membuktikan dengan kesepakatan dan semangat, mereka ternyata mampu mengukir nama untuk negara dengan cara sendiri.

Kejayaan tersebut telah disahkan oleh wakil Guinness World Records, Fortuna Burke, sekali gus mengatasi rekod yang pernah dicatatkan di Sungai Thames pada 2012 sempena kejohanan sukan Olimpik.

Perarakan dilepaskan oleh Pegawai Pembangunan Daerah Dungun, Datuk Din Adam pada pukul 7 pagi di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Daerah di Kuala Dungun dan tiba di Kuala Kemaman kira-kira pukul 12.30 tengah hari dengan disambut oleh Ahmad Shabery bersama hampir 15,000 penduduk.

Ketika bercakap kepada pemberita dalam majlis sambutan di Dataran Kuala Kemaman, Ahmad Shabery berkata, melalui program yang digerakkan oleh kementeriannya, sambutan yang diberikan oleh golongan nelayan sangat membanggakan.

Beliau yang ternyata begitu teruja bersama-sama masyarakat dengan gambaran mengagumkan dengan perarakan menyusuri sepanjang pinggir pantai itu menyifatkan betapa nelayan menunjukkan semangat untuk bersama menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan dengan kibaran Jalur Gemilang melatari suasana di laut.

“Golongan nelayan negara ini juga menunjukkan rasa bangga menjadi nelayan dan hari ini mereka mahu membuktikan bagaimana mereka cintakan negara Malaysia kepada dunia,” katanya.

Apa yang diperlihatkan buat kali kedua oleh golongan nelayan bukannya merupakan yang terakhir, namun mendorong suatu perancangan festival tahunan dengan pendekatan baharu termasuk pertandingan perahu tradisional di samping pameran dan jualan yang berkaitan dengan laut.

Bagi Mustafa, ini bakal direncanakan bukan sekadar suatu program biasa menghabiskan rutin kegiatan tahunan tetapi yang bakal memberikan identiti denganh tarikan tersendiri dan Dataran Kuala Kemaman sedang dipersiapkan sebagai lokasi penganjuran.
© Utusan Melayu (M) Bhd

Posted in Permandangan, Pelancongan & Rekreasi | Leave a comment

Gerai tidak dibiarkan dibuka sesuka hati

KUALA TERENGGANU 11 Okt. – Kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan akan memastikan perjalanan pasar malam dalam keadaan terurus dan pembukaan gerai-gerai perniagaan tidak dilakukan sesuka hati di mana sahaja sehingga mencemarkan persekitaran.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, langkah yang disasarkan mulai tahun depan bagi menjaga kebersihan agar sentiasa terurus di samping menjaga kesihatan pelanggan, keselesaan orang ramai dan tidak menyakitkan pandangan.

Sehubungan itu katanya, pasar-pasar malam di negeri ini akan dinaik taraf sebagai pasar malam eksklusif mulai tahun depan manakala penempatan gerai-gerai yang berselerak terutama di pinggir-pinggir jalan akan disusun semula.

“Kita tidak mahu lagi melihat, ada peniaga yang membuka gerai sesuka hati, terutama di kali lima jalan raya, tepi-tepi bangunan dan taman-taman permainan.

“Saya serius mahu menangani masalah ini kerana sering melihat selepas berniaga mereka akan meninggalkan sisa mi­nyak, sampah sarap bertaburan dan kelengkapan berniaga dibiarkan tanpa pengawasan,” ujarnya.

Ahmad Razif berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau tahap kebersihan sekitar Taman Awam Batu Buruk dan Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, di sini kelmarin.

Beliau berkata, buat permulaan, tumpuan akan diberikan sekitar kawasan bandar ini dengan menjadikan pasar malam Kuala Ibai, Shahbandar, gerai jalanan Kuala Ibai dan Batu Buruk sebagai projek contoh.

Katanya, para peniaga berkaitan terlebih perlu menghadiri kursus asas perniagaan yang dianjurkan secara percuma sebelum dibenarkan berniaga di pasar malam esklusif itu.

“Mereka perlu memiliki lesen perniagaan dan kad rekod kesihatan. Langkah itu dianggap penting bagi memberi pengetahuan lebih mendalam tentang penjagaan kesihatan, layanan pelanggan dan kawalan harga,” ujarnya.

Beliau yakin penstrukturan semula pasar malam dan gerai jalanan itu, mampu menjadikan persekitaran negeri ini lebih bersih, tersusun, malah memberikan imej yang lebih baik tentang rakyat dan negeri.
© Utusan Melayu (M) Bhd

Posted in Alam sekitar & konservasi, Ekonomi & Keusahawanan, Kerajaan & Pentadbiran | Leave a comment

Tranformasi pengurusan sisa pepejal

 

Ahmad Razif Abdul Rahman ( dua dari kiri) menyampaikan tong sampah kepada ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung pada majlis Tranformasi Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 9 Okt. – Transformasi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam akan diperluaskan ke seluruh daerah di negeri ini mulai tahun depan sekiranya program yang dirintis di daerah ini berkesan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, inisiatif itu akan diperincikan dan ditambah nilai berasaskan hasil projek yang digerakkan di Seberang Takir di sini apabila tanggungjawab itu diswastakan.

Program transformasi meliputi kutipan sampah dari rumah ke rumah dan kerja-kerja pembersihan jalan, pemotongan rumput serta pencucian longkang dengan penglibatan lima kontraktor yang diberi tanggungjawab menjayakan dengan kos RM184,000.

“Tempoh tiga percubaan (kontrak) tiga bulan kita berikan untuk uji program transformasi ini di Seberang Takir dan kita berharap mereka (kontraktor) memberikan komitmen penuh untuk menjayakannya.

“Kita akan gunakan model yang sama untuk dikembangkan ke seluruh daerah selaras usaha merealisasikan Transformasi Terengganu Terbersih (TTB) bagi memastikan harapan dan hasrat mentransformasikan pelupusan sisa pepejal dapat dilaksanakan dengan cara terbaik,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan perasmian majlis Transformasi Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Terengganu dalam kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di pekarangan Dewan Sivik Seberang Takir hari ini.

Yang hadir sama Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Adzlan Mohd. Dagang.

Dalam majlis itu, selain memberikan tong sampah kepada penduduk, kerajaan negeri turut menyerahkan 10 buah lori compactor untuk kegunaan MBKT dalam usaha melancarkan lagi perkhidmatan kutipan sampah yang dijalankan pihak berkuasa tempatan itu.

Seberang Takir yang termasuk dalam daerah baharu Kuala Nerus akan dijadikan penanda aras terhadap penglibatan pihak swasta dalam kerja-kerja itu dan kerajaan bercadang memberikan kontrak kepada 44 syarikat apabila program itu diperluaskan.

Sementara itu, Ahmad Razif mengingatkan lima syarikat kontraktor swasta yang dilantik di Seberang Takir bagi program tersebut agar menjalankan tanggungjawab dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat sepanjang tempoh percubaan.

Katanya, komitmen kerja pembersihan yang ditunjukkan mereka itu secara tidak langsung dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap kewibawaan golongan kontraktor di negeri ini.

“Mana-mana kontraktor yang menunjukkan prestasi dan kualiti kerja pada tahap tinggi, maka kerajaan negeri bersedia memberi insentif termasuk meneruskan projek yang dilaksanakan tanpa sebut harga atau tender sebagai galakan kepada mereka,” katanya.

Ahmad Razif memberitahu, pemilihan Seberang Takir yang kerja-kerja pembersihan diuruskan sepenuhnya oleh MBPKT selama ini dibuat kerana keadaannya yang agak kritikal dengan kepesatan pembangunan dan tumpuan pelancong.
© Utusan Melayu (M) Bhd

Posted in Alam sekitar & konservasi, Kerajaan & Pentadbiran | Leave a comment