Sedia selesai di luar mahkamah

KUALA TERENGGANU (Harian Metro): “Saya bersedia menyelesaikan kes ini di luar mahkamah jika dia datang berjumpa dan meminta maaf kepada saya dan ibunya selain berharap pertemuan itu dapat dilakukan sebelum Aidilfitri,” kata Mustafa Ismail, 64, yang mengemukakan saman terhadap anak kandungnya di mahkamah semalam.

Dia yang mengemukakan saman terhadap anak lelakinya, seorang pengurus operasi sebuah syarikat cari gali minyak berpendapatan RM17,000 sebulan, berkata demikian di Mahkamah Rendah Syariah, semalam ketika mahkamah mendengar kes tuntutan tunggakan nafkah untuk dua cucu yang dipeliharanya.

Mustafa berkata, selepas berita mengenai kes tuntutan nafkah itu dilaporkan media, anaknya, Nasrun Mustafa, 37, tidak menghubunginya atau pulang ke rumah, malah usahanya menghubungi lelaki itu menerusi panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas juga tidak berjawab.

“Saya harap dia dapat pulang sebelum Aidilfitri ini dan meminta maaf kepada saya dan ibunya. Saya hanya mahu dia pulang ke rumah dan menjenguk dua anaknya yang ditinggalkan bersama kami sejak tujuh tahun lalu.

“Jika dia tidak mahu berjumpa di rumah, di luar pun tidak mengapa. Saya juga sedia menyelesaikan kes ini di luar mahkamah seperti permohonannya (defendan),” katanya.

Mustafa yang juga pesara syarikat cari gali minyak, memelihara dan menanggung dua cucunya yang bersekolah di tingkatan satu dan tiga dengan wang simpanan selepas ditinggalkan bapa mereka sejak tujuh tahun lalu, menuntut tunggakan nafkah sepanjang tempoh itu bernilai RM20,000 serta bayaran nafkah RM800 sebulan secara potongan gaji.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Mustafa buntu memikirkan masa depan dua cucunya dan terpaksa memilih jalan terakhir membawa perkara itu ke mahkamah bagi membolehkan dia bertemu Nasrun yang sudah tujuh tahun mengabaikan tanggungjawabnya sebagai bapa dan anak.

Sementara itu, peguam Nasrun, Abdullah Muhammad berkata, anak guamnya yang tidak hadir ke mahkamah semalam, bersetuju membayar tuntutan nafkah, namun kini sedang melalui proses pembiayaan semula rumahnya untuk memenuhi tuntutan itu, selain memohon supaya kes berkenaan diselesaikan di luar mahkamah. “Defendan tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini (semalam) berikutan ada urusan kerja yang tidak dapat dielakkan. Bagaimanapun dia bersetuju membayar tuntutan nafkah oleh plaintif dan memohon kes ini diselesaikan di luar mahkamah.

“Defendan berjanji menyelesaikan urusan ini dalam tempoh terdekat dan ketika ini sedang dalam proses pembiayaan semula rumahnya,” katanya.

Permohonan defendan menyelesaikan kes di luar mahkamah mendapat sokongan Hakim Kamarulazmi Ismail, yang menyifatkan ia jalan lebih baik dan manis berikutan kes ini membabitkan hubungan kekeluargaan antara bapa dan anak.

“Hukuman mahkamah boleh selesaikan pergeseran dan pertelingkahan, tetapi penyelesaian mahkamah tidak boleh selesaikan masalah perhubungan (antara anak dan ibu bapa). Sebab itu, seboleh-bolehnya selesaikan luar mahkamah,” katanya.

Terdahulu, Mustafa memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya defendan menghubunginya dan pulang ke rumah.

Kamarulazmi menjelaskan, mahkamah tiada kuasa berbuat demikian kerana ia adalah hak masing-masing.

“Cuma saya berharap, Nasrun dapat balik ke rumah berjumpa ibu bapa dan anak-anaknya.

“Apa yang berlaku saya tak tahu, tetapi apa yang saya tekankan daripada segi agama. Nasrun bertanggungjawab dalam dua perkara, iaitu sebagai anak dan bapa. “Dalam al-Quran dan hadis ada menyebut, semua dosa akan diberi penangguhan di hari kiamat, melainkan dosa pada ibu bapa yang Allah akan segerakan balasannya di dunia.

“Bala (kalau) Allah nak beri dalam banyak cara, bala kewangan, kesihatan, yang paling ditakuti ialah tertutup pintu hati,” katanya.

Kamarulazmi kemudian menetapkan 30 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Berita, Kekeluargaan, Sosial & Masyarakat. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s