KUALA TERENGGANU 8 Okt. (Utusan Malaysia) – Pulau Warisan di belakang Kampung Cina di sini yang masih dalam proses pembangunan perlu dipromosikan dengan aktif bagi mempopularkannya sebagai lokasi pelancongan.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ini kerana, masih ramai termasuk penduduk Terengganu sendiri yang belum tahu mengenai usaha kerajaan membangunkan lokasi itu dengan pelbagai tarikan dan kemudahan.
Setakat ini, jelas beliau, kerajaan negeri mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM60 juta untuk membangunkan pulau berkenaan termasuk mengubah wajah daratan sekali gus menjadi destinasi pelancongan baru di Terengganu.
Selain itu, katanya, perbelanjaan itu juga untuk pembiayaan bagi menambah serta mendalamkan Sungai Kuala Terengganu yang berlatarbelakangkan Kampung Cina.
“Keindahan Pulau Warisan yang sedang kita bangunkan ini perlu diuar-uarkan untuk menarik lebih ramai pelancong ke sini.
“Masih ramai pelancong asing dan rakyat tempatan yang tak tahu usaha kita membangunkan Pulau Warisan ini termasuk perkhidmatan bot atau river cruise yang lengkap dengan restoran terapung di atasnya,” katanya kepada pemberita ketika melawat pulau itu di sini, hari ini.
Menteri Besar seterusnya mengakui bahawa masih banyak projek pembangunan yang perlu dilaksanakan di pulau tersebut termasuk menyediakan prasarana untuk keperluan pengunjung terutama pelancong.
Beliau berkata, kawasan terbabit dengan pembangunan Pulau Warisan itu bakal menjadi pusat pelancongan pesisir air di bandar raya ini meliputi keluasan enam hektar.
Di samping itu, katanya, ia juga menjadi pangkalan kepada bot dan river cruise untuk pelancong menyusuri sepanjang Sungai Kuala Terengganu sehingga ke Kuala Berang di daerah Hulu Terengganu. Buat masa ini, katanya, dua bot kayu berharga RM250,000 sebuah telah ditempah dari Johor untuk dijadikan restoran terapung selain tempahan 10 bot lagi bagi membawa penumpang menyusuri Sungai Terengganu.
Ahmad turut berharap agar penduduk sekitar terutama di Kampung Cina di sini memberikan kerjasama menjaga kebersihan untuk sama-sama membangunkan pusat tarikan pelancongan itu.
untuk masuk ke pulau warisan adakah dikenakan bayaran?
Tiada bayaran dikenakan