Anjing liar hutan baham lembu peneroka

ZULKIFLI Zakaria menunjukkan bangkai lembu yang menjadi mangsa serangan anjing liar di Felda Tenang, Besut, kelmarin.

BESUT 9 Jan. (Utusan Malaysia) – Penduduk di kawasan tanah rancangan Felda Selasih dan Tenang di sini kini gelisah kerana gerombolan anjing liar dari hutan berhampiran makin mengancam lembu peliharaan mereka.

Dalam tempoh seminggu lalu, peneroka di penempatan itu mendakwa, lima ekor ternakan itu yang dilepas bebas di kawasan ladang telah dibaham.

Dalam kejadian terbaru malam kelmarin, dua ekor lembu menjadi mangsa dan bangkai seekor anak lembu yang belum sempat dilarikan, ditemui.

Seekor lagi didapati cedera dengan kedua biji mata telah dicungkil oleh gerombolan berbelas-belas haiwan buas yang menjadikan ladang di situ sebagai kawasan pemburuan.

Salah seorang peneroka, Zakaria Mat Nor, 45, ketika ditemui memberitahu, lembu yang menjadi mangsa terbaru itu adalah miliknya.

Zakaria berkata, sejak tahun lalu kira-kira 60 ekor lembu menjadi mangsa termasuk lebih 20 ekor miliknya yang dianggarkan bernilai kira-kira RM15,000.

Katanya, kumpulan anjing itu biasanya menyerang pada awal pagi dan petang namun setakat ini tidak pernah menyerang manusia walaupun beberapa kali terserempak.

Ancaman itu makin ketara sejak empat bulan lalu apabila banyak ternakan dilaporkan hilang ketika kelibat haiwan liar itu kerap kelihatan di samping terdapat kesan darah dan sisa tinggalan.

”Kumpulan anjing itu datang dari kawasan Hutan Simpan Gunung Tebu dan sering berulang-alik dari Felda Selasih dan Felda Tenang kerana mempunyai banyak ternakan lembu milik peneroka,” ujarnya ketika ditemui semalam.

Katanya, hampir 20 peneroka yang berusaha menambah pendapatan dengan cara memelihara lembu pawah di bawah program Jabatan Veterinar ini sudah tawar hati untuk mengendalikan ternakan itu.

Menurutnya, dua tahun lalu penternak mengalami masalah yang sama dan mereka kehilangan 40 ekor lembu.

“Apabila masalah ini dilaporkan oleh akhbar dua tahun lalu, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah memasang perangkap.

“Usaha itu agak berkesan dan kami lega kerana lembu dapat membiak tetapi sejak empat bulan lalu bilangan lembu peliharaan kami semakin berkurangan,” ujarnya.

Katanya, masalah muncul semula setelah Perhilitan membawa keluar perangkap yang dipasang dan keadaan itu meresahkan peneroka.

Sehubungan itu, dia berharap pihak berkuasa dapat membantu menangani masalah tersebut daripada berlarutan kerana jika tidak mereka akan mengalami kerugian lebih besar.

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Berita, Kekeluargaan, Sosial & Masyarakat. Bookmark the permalink.

Leave a comment