TDM Bhd. buka kilang baja bio-organik

SETIU 13 Mac (Utusan Malaysia)- TDM Bhd., sebuah syarikat milik kerajaan negeri yang berteraskan industri kelapa sawit melakar satu lagi sejarah perkembangannya sejak empat dekad lalu dengan pembinaan kilang baja bio-organik di ladangnya di Sungai Tong.

Kilang bernilai RM3.4 juta yang mula beroperasi tahun lalu merupakan sebahagian daripada langkah inovasi bagi mengurangkan kos, meningkatkan pengeluaran hasil tanaman di samping menyelesaikan masalah pencemaran dan pembuangan sisa.

Melalui pengeluaran baja itu dengan kapasiti 24,000 tan metrik setahun, syarikat berkenaan mampu menjimatkan kos pembajaan sehingga RM10 juta setahun daripada keseluruhan kos RM60 juta bagi tujuan itu.

Berdasarkan prestasinya, ia terus mendorong TDM melalui anak syarikatnya TDM Plantation Sdn. Bhd. untuk merancang membina kilang kedua bagi menampung keperluan ladang di sekitar Kemaman pada tahun ini yang dianggarkan menelan kos RM4 juta.

Perasmian kilang perintis itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi TDM, Datuk Roslan Awang Chik; Pengerusi TDM Plantation, Datuk Mohd. Jidin Shafee dan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat.

Ketika berucap pada majlis itu, Ahmad menyifatkan kejayaan TDM membangunkan kilang baja itu suatu yang membanggakan dan wajar dicontohi dalam amalan kelestarian bumi.

Katanya, ia membuktikan kebolehan syarikat milik kerajaan negeri dan anak-anak tempatan yang dapat menjana ekonomi, peluang pekerjaan dan mengurangkan pergantungan kepada baja import.

Kilang itu merupakan projek usahasama TDM Plantation dengan Myagri Nutribio Sdn. Bhd. yang menyediakan teknologi dan kepakaran.

Pada majlis itu juga, Menteri Besar merasmikan Medan Infodesa Kampung Tayor Tengah Mukim Hulu Nerus 2 yang terletak bersebelahan Ladang Tayor milik TDM Plantation.

Bangunan bernilai RM178,300 itu didirikan di tapak seluas 0.47 hektar di tanah ladang bagi memenuhi keperluan penduduk setempat menjalankan pelbagai kegiatan berkaitan dengan teknologi maklumat dan komunikasi.

Ia selaras dengan objektif program Infodesa Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dalam mengatasi masalah jurang digital di antara komuniti bandar dan luar bandar.

Roslan ketika berucap pada majlis itu berkata, ia sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat dan berharap dengan pembinaan kilang baja dan Medan Infodesa, syarikat dapat membantu kerajaan negeri dalam mempertingkatkan sosioekonomi rakyat.

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Berita, Pertanian & Perikanan. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s