Paparan keindahan kain dunia Melayu

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOBM – utusanterengganu@utusan.com.my

Urat pisang yang diikat dengan motif tertentu sebelum dicelup dan ditenun dalam kaedah pembuatan tekstil tradisional di Muzium Negeri Terengganu.

KUALA TERENGGANU 14 Mac – Dalam tradisi masyarakat silam, kain atau istilah moden dan komersialnya, tekstil bukan sekadar menutup tubuh, ia lebih daripada itu, dengan menjadi hiasan diri dan cerminan peribadi.

Melalui proses evolusi, dari segi reka corak dan pemakaian, penggunaan kain disesuaikan dengan strata kehidupan dan pandai seni tenunan mencurahkan jiwa mereka bagi memancarkan keindahannya.

Ungkapan ‘sedap mata memandang’ menjadi sebahagian daripada ukuran nilai dengan segenap corak mengandungi makna dan lambang yang dipetik dari unsur alam dan rekaan bentuknya mempunyai pelbagai fungsi.

Mungkin ramai antara kita yang memakai jenis kain tertentu tetapi tidak mengenalinya, apatah lagi untuk memahami bagaimana ia dihasilkan dan menyedari betapa mempunyai estetika yang tinggi.

Pameran tekstil 1ASEAN 1Jalinan oleh Lembaga Muzium Negeri di sini dengan kerjasama Terengganu Institute Of Design Excellence (TIDE) yang bermula hari ini berusaha beri kefahaman dan kesedaran meluas.

Program yang akan berlangsung sehingga 30 Jun depan memaparkan legasi peninggalan dunia Melayu dari segi tekstil.

Di sebalik keterbatasan teknologi, masyarakat silam melakukan inovasi dan kreativiti yang kemudian memperlihatkannya sebagai salah satu simbol ketinggian peradaban dan ketamadunan bangsa.

Kain songket, limar, sutera, tenun, telepuk benang halus, batik dan pelangi adalah antara tekstil tradisional yang masih boleh dilihat kini.

Pengarah Muzium Negeri, Mohd. Yusof Abdullah ketika ditemui berkata, pameran ini diusahakan bagi meningkatkan apresiasi dan kecintaan terhadap tekstil warisan yang unik dan tinggi nilainya.

Pameran itu mengetengahkan koleksi muzium, individu-individu dan badan-badan tertentu dari negara-negara serantau yang mencerminkan persamaan dan sedikit perbezaannya.

Mohd. Yusof Abdullah menunjukkan kain pelangi yang merupakan permulaan kepada perkembangan batik moden di Muzium Negeri Terengganu.

“Di sini sejarah tekstil diketengahkan dengan bahan-bahan awal menghasilkan fabrik termasuk kulit kayu, daun nanas, pokok abaca selain kapas dan sutera.

“Pengunjung juga boleh melihat demonstrasi proses penghasilan benang sehingga menjadi kain melalui pelbagai peralatan yang digunakan di samping membeli produk melalui gerai-gerai yang disediakan.

“Peralatan, bahan dan teknik tradisional pembuatan tekstil melalui proses tenunan, sulaman, batik, tekatan, mengait serta hiasan manik boleh disaksikan selain persembahan fesyen dan bengkel,” katanya.

Pada masa silam, laut dan bahtera menjadi penghubung yang turut menjalin kerja pandai seni tenunan nusantara dan saling mempengaruhi.

“Kebanyakannya memiliki persamaan dalam pelbagai sudut. Ini menunjukkan masyarakat dalam satu rumpun ini saling berkongsi dalam berbagai bidang termasuk dalam teknologi penghasilan tekstil,” katanya.

Kapas dan sutera melengkap tekstil dari India dan China, berlegar melalui sistem perdagangan dalam dunia Melayu yang kemudiannya membantu mencorak wajah dan identiti tersendiri bagi setiap negara.

Ia bukan sahaja daripada sudut motif tetapi juga dilihat dari sudut teknik dalam menghasilkannya.

“Ia memaparkan kebijaksanaan dan kreativiti kepada generasi muda yang perlu diselami dan dijiwai semula.

“Mereka (generasi muda) perlu belajar menghargai keintelektualan nenek moyang mereka, di samping mengenali jati diri warisan yang masih mampu ditatap dan disentuh itu,” katanya.

Pameran tekstil 1ASEAN 1Jalinan menjadi wadah dalam menjayakan matlamat tersebut, di samping boleh dijadikan sumber inspirasi kepada artisan muda untuk menghasilkan koleksi tekstil yang lebih bermutu dan diminati masyarakat tempatan dan luar negara.

Advertisements

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Berita, Ekonomi & Keusahawanan, Kesenian & Kebudayaan. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s