Dapat pari, Yani bawa pulang wang tunai RM23,000

ROSLI Mat Hasan (dua dari kiri) menyerahkan replika hadiah wang tunai RM23,000 kepada Yani Zakaria (dua dari kanan) di Pantai Teluk Lipat, Dungun, Sabtu lalu.

DUNGUN 20 Jun – Seorang kontraktor, Yani Zakaria, 47, berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM23,000 apabila diumumkan sebagai juara Pertandingan Memancing Cabaran Teluk Lipat di sini kelmarin.

Ini kali kedua Yani menjuarai pertandingan seumpama itu selepas berjaya menaikkan pari seberat 13 kilogram pada Mac lalu di tempat yang sama, sekali gus meraih wang tunai RM20,000.

Pada pertandingan kelmarin, Yani, dari Kampung Binjai, Kemaman, berjaya menaikkan seekor ikan pari seberat 17 kilogram dalam pertandingan anjuran Yatayudin Enterprise & KTJ Fishing di pantai berkenaan.

Naib juara disandang oleh Zahuri Zakaria, 38, dari Balok, Kuantan yang menaikkan seekor pari seberat 15 kilogram dan membolehkannya menerima hadiah wang tunai RM8,000.

Pertandingan yang disertai kira-kira 500 orang pemancing itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM52,000.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan Pengurus Yatayudin Enterprise, Anudin Abd. Ghani, selain Ketua UMNO Bahagian Dungun merangkap Pengerusi Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Datuk Dr. Rosli Mat Hasan dan Timbalan Pengerusi Penyelaras DUN Sura, Zulkifli Harun.

Dalam pada itu, Yani sewaktu ditemui berkata, dia mengenakan umpan ikan selayang dan menanti hampir dua jam sebelum berjaya menawan pari seberat 17 kilogram itu.

“Sebelum ini, saya dimaklumkan penganjur sekali lagi mengadakan pertandingan di sini dan saya bersemangat untuk turut serta sekali lagi. Kali ini saya berjaya mendapat pari yang lebih besar dan hadiah juga lebih lumayan,” ujarnya.

Yani menambah, beliau bercadang untuk menyerahkan hadiah wang tunai yang dimenanginya itu kepada isterinya bagi keperluan persekolahan empat anak mereka.

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Berita. Bookmark the permalink.

Leave a comment