SK Gong Kapas – Kelas Rosak: Pelajar Dipindah

KUALA TERENGGANU, 15 Ogos (Bernama) — Lebih 100 pelajar Tahun Dua dan Tiga Sekolah Kebangsaan Gong Kapas, di sini terpaksa belajar dalam keadaan yang berisiko dan berbahaya setiap hari.

Ini kerana kelas yang menempatkan mereka termasuk sebuah kelas pendidikan J-Qaf mengalami kerosakan yang teruk seperti atap bocor, masalah elektrik dan lebih membimbangkan sebahagian siling di kelas berkenaan telah runtuh.

Ekoran itu, para pelajar ditempatkan dalam bengkel Kemahiran Hidup dan Bilik Muzik, namun lebih menyedihkan mereka terpaksa berpindah-randah apabila ada kelas lain yang perlu menggunakan bilik tersebut.

Anggota Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu, Abdullah Muda, 56, berkata masalah ini telah bermula sejak pertengahan tahun 2009.

Katanya akibat kejadian itu, pembelajaran pelajar terjejas teruk dan terpaksa belajar dalam keadaan yang tidak kondusif.

Sementara itu, seorang bapa Sazali Mahmud, 45, kesal dengan keadaan yang masih berterusan ini dan ia nyata hanya menyusahkan pelajar.

Katanya beliau bimbang bila pelajar-pelajar ini ditempatkan di bengkel Kemahiran Hidup kerana di bengkel itu terdapat pelbagai barangan tajam dan berbahaya antaranya sabit, gunting dan gergaji.

“Bilik itu tidak sesuai untuk mereka belajar. Apa yang lebih membimbangkan ialah keselamatan pelajar apabila menempatkan mereka di situ,” katanya.

Sekolah Kebangsaan Gong Kapas telah berusia kira-kira 64 tahun dan pernah memenangi Anugerah Sekolah Cemerlang peringkat negeri pada 2009.

Kini terdapat seramai 417 murid belajar di sekolah itu.

— BERNAMA

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Berita, Pendidikan. Bookmark the permalink.

Leave a comment