TED atasi kepupusan penyu

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI utusanterengganu@utusan.com.my

Ahamad Sabki Mahmood (tiga dari kanan) bersama nelayan menunjukkan alat TED yang dipasang di pukat pada Majlis Perasmian Program Kajian dan Penggalakkan Penggunaan TED di Kemaman, baru-baru ini. – utusan/Shaifudin Mohd. Nor

KEMAMAN 16 Feb. – Beratus ribu ekor dilepaskan ke laut dan segelintir daripadanya yang berjaya mencapai usia matang hanya akan kembali ke pantai untuk bertelur selepas berdekad lamanya.

Namun, banyak yang mengakhiri hayatnya dengan tersangkut di pukat-pukat nelayan dan saban tahun, bilangan yang mendarat terus mengecil menyebabkan haiwan itu diancam kepupusan.

Dianggarkan sebanyak 50 hingga 100 ekor penyu mati setiap tahun mengikut statistik di seluruh negara dan sebahagian besarnya akibat tersangkut pada pukat nelayan berkenaan.

Berdasarkan kajian yang dijalankan di rantau ini pada 2006 hingga 2008 yang diketuai oleh penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, insiden kematian penyu di perairan pantai akibat terperangkap pada peralatan pukat tunda adalah yang kedua tertinggi selepas pukat hanyut.

Maka, penting untuk Jabatan Perikanan Malaysia mengambil kira kesan ke atas populasi haiwan marin itu dan terus mencari langkah mendepani masalah tersebut.

Sehubungan itu, terbaru jabatan tersebut memperkenalkan penggunaan alat Peranti Penyisih Penyu (TED) dalam usaha mengurangkan kematian spesies yang diancam kepupusan itu.

Kajian awal Jabatan Perikanan pada 1996 dan juga penyelidik di Australia dan Amerika Syarikat mendapati penyu yang terperangkap mudah berenang keluar melalui TED yang dipasang pada pukat tunda itu.

TED merupakan bingkai besi atau aluminium yang mempunyai jaringan penghadang yang dipasang pada pukat tunda udang bagi mengurang tertangkapnya penyu secara tidak sengaja.

TED direka pada 1970-an oleh nelayan Amerika Syarikat yang asalnya digunakan untuk memisahkan obor-obor daripada masuk ke dalam pukat tunda kemudiannya diubah suai untuk menghalang penyu daripada terjerat.

Sehingga kini, tiada satu komuniti nelayan yang bersedia menggunakan peranti TED secara berterusan ke atas pukat tunda dan tiada alasan yang kukuh terhadap keengganan mereka berbuat demikian.

Namun, menurut kajian, penggunaan TED mendatangkan beberapa kelebihan iaitu menjimatkan penggunaan bahan api diesel, hasil tangkapan lebih bersih dan berkualiti dan tangkapan ikan baja dapat dikurangkan selain memudahkan penyu menyelamatkan diri melalui TED.

Ketua Pengarah jabatan itu, Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata, untuk permulaan, perairan Kemaman dipilih sebagai lokasi kajian TED kerana pantai Teluk Mak Nik di Kampung Geliga Kemaman adalah lokasi pendaratan penyu agar yang paling tinggi di Semenanjung dan ketiga tertinggi di Malaysia selepas Pulau Selingan, Sabah dan Pulau Talang-Talang, Sarawak.

Katanya, purata jumlah pendaratan penyu agar yang dicatat di pantai tersebut bermula pada 2008 hingga November 2011 antara 800 hingga 1,300 sarang setahun manakala pendaratan penyu pada musim tengkujuh antara bulan November hingga Mac boleh mencapai sehingga 70 sarang.

“Justeru, ia merupakan lokasi terbaik untuk kita jalankan kajian penggunaan TED dan seramai enam nelayan pukat tunda udang di daerah ini telah dipilih sebagai perintis untuk dibekalkan dengan alat tersebut dengan setiap satunya bernilai RM700.

“Alat ini akan diletakkan di pukat tunda udang yang digunakan nelayan itu pada musim tengkujuh dan dalam masa yang sama kita akan mengumpulkan maklumat tentang keberkesanannya dan mengambil tempoh selama enam bulan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Program Kajian dan Penggalakkan Penggunaan TED, di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Perikanan negeri, Zakaria Ismail dan Pengurus Bahagian Sumber Manusia Huntsman Sdn. Bhd, Azhar Aziz.

Ahamad Sabki berkata, jika penggunaan TED berkesan, pihaknya bercadang untuk menguatkuasakan penggunaannya di seluruh negara.

Katanya, penggunaan TED itu turut disambut baik oleh syarikat Huntsman yang memperuntukkan RM205,000 kepada jabatan itu bagi menjalankan pelbagai aktiviti pemuliharaan dan kajian penyu di Pantai Teluk Mak Nik, dekat sini.

“Mungkin juga melalui pendekatan baru ini, larangan eksport udang laut dari negara kita oleh Amerika Syarikat sejak beberapa tahun lalu akan ditarik balik,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, beberapa negara yang mengadakan peraturan penggunaan peranti TED, antaranya Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan New Zealand.

Katanya, peraturan itu telah dilaksanakan di Amerika Syarikat supaya negara pengeksport hasil tangkapan laut menggunakan TED pada pukat tunda mereka bagi mengelakkan tertangkapnya haiwan itu.

“Tanpa TED, hasil tangkapan udang adalah dilarang untuk dieksport ke AS dan peraturan ini adalah merujuk kepada US Shrimp Import Embargo yang berkuatkuasa pada 1996,” katanya.

Katanya, sebagai susulan projek itu, satu seminar bakal diadakan pada April tahun depan bagi memberi maklumat lebih terperinci kepada nelayan tentang penggunaan alat peranti itu.

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Alam sekitar & konservasi, Berita. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s