BESUT, 8 April (Bernama) — Bantuan khas RM3,000 kepada setiap daripada 72,000 orang bekas anggota polis yang berkhidmat semasa darurat dijangka selesai diagihkan selewat-lewatnya Jun ini.
Setiausaha Bahagian Perolehan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Wan Ali Besar berkata setakat ini seramai 55,000 daripada mereka telah menerima bantuan itu melalui Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri mulai 25 Mac lepas.
Beliau berkata pihaknya menghadapi sedikit masalah untuk mengagihkan bantuan tersebut kerana terdapat beberapa masalah teknikal di mana ada antara pesara ini telah berpindah daripada alamat kediaman asal termasuk maklumat yang tidak tepat.
Beliau bercakap kepada Bernama selepas menyampaikan bantuan cek berkenaan kepada dua bekas polis yang berkhidmat semasa darurat iaitu Ismail Idris, 82, dari Kampung Tok Motong, dan seorang balu bekas anggota, Umi Khelthom Abdul Rashid, 61, dari Kampung Lak Lok di rumah masing-masing.
Menurutnya, Selangor merupakan antara penerima teramai dan diikuti Johor, Sabah serta Sarawak yang membabitkan mereka yang berumur antara 75 hingga 90 tahun.
— BERNAMA