KOTA BAHARU, 22 Mei (Bernama) — Pasukan Kelantan yakin mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri pada perlawanan pusingan kedua Piala AFC menentang Terengganu di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, malam esok.
Selain itu, kedudukan Kelantan di tempat pertama carta liga Malaysia setelah menjuarai Piala FA juga wajar diberi perhatian oleh pasukan lawan semasa bertemu mereka, kata Ketua Jurulatih Kelantan Bojan Hodak.
Beliau berkata walaupun tidak meletakkan sasaran tinggi untuk Piala AFC memandangkan Liga Super dan Piala Malaysia lebih penting, Bojan berjanji untuk memberi persembahan terbaik ketika menentang Terengganu.
“Terengganu mempunyai pemain berbakat. Mereka akan melakukan yang terbaik tetapi Kelantan mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri,” katanya pada sidang akhbar pra-perlawanan pusingan kedua Piala AFC di sini, Selasa.
Perlawanan esok bakal menentukan pasukan yang akan mara ke suku akhir Piala AFC.
— BERNAMA