BESUT Kosmo- Tiga buruh terselamat daripada maut dan cedera parah selepas separuh badan mereka tertimbus selama dua jam setengah dalam simen apabila lapik kedua lantai bangunan astaka setinggi tiga meter yang dalam pembinaan runtuh di Jerteh dekat sini semalam.
Kejadian pukul 1 petang itu berlaku apabila tiga tiang sokongan lantai bangunan berharga RM300,000 yang dibina sejak 15 Mei lalu itu runtuh ketika simen konkrit dituang ke atasnya.
Difahamkan, ketika kejadian terdapat enam pekerja di situ.
Mereka yang terperangkap dikenali sebagai Ari Ramlan, 31, dari Indonesia; Raju, 42, dan Zilo dari Bangladesh. Ari Ramlan dikeluarkan pada pukul 3.20 petang manakala Raju dan Zilo diselamatkan antara 10 dan 15 minit kemudian.
Buruh yang sempat menyelamatkan diri pula dikenali sebagai Suksan Ali, 25, dari Bangladesh; Munawir, 20, dan Fandi, 20, dari Indonesia. Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Besut.
Mengimbau semula kejadian itu, pemandu kren, Nasir Zakaria, 38, berkata, dia nampak lapik kedua lantai astaka itu mendap dan tiba-tiba runtuh sekelip mata ketika dia sedang menuang simen berkenaan.