Kaum Cina sertai pertandingan bakar lemang tarik perhatian pengunjung

KUALA TERENGGANU 7 Julai – Kehadiran 10 wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Seri Manir berbangsa Cina, yang menyertai pertandingan membakar lemang di Teluk Pasu, menarik perhatian pengunjung termasuk pelajar Korea dan Indonesia.

Mereka merupakan satu-satunya wakil JKKK berbangsa Cina yang menyertai pertandingan itu dan terdiri daripada tiga lelaki dan tujuh perempuan diketuai Ng Kam Fong, 70.

Pertandingan anjuran pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu itu disertai 330 peserta dari 33 JKKK seluruh kawasan tersebut yang membabitkan pembakaran 1,320 lemang.

Kam Fong berkata, beliau hanya dimaklumkan mengenai pertandingan itu empat hari sebelum acara berlangsung.

“Seumur hidup, saya memang tak pernah membakar lemang, namun saya memang niat nak masuk juga pertandingan ini kerana lemang memang makanan tradisional orang Melayu yang turut digemari pelbagai bangsa.

“Nasib baik saya sempat berjumpa dengan seorang makcik Melayu dan beliau memberi tunjuk ajar kepada saya cara-cara membakar lemang dengan betul membuatkan saya yakin untuk menyertai pertandingan ini,” katanya, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Terengganu, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said berkata, pertandingan itu adalah sebagai latihan penduduk kawasan tersebut mencatat rekod baru dalam Malaysia Book of Records.

“Memang kami di DUN Teluk Pasu ini ada bercadang ingin mencatat rekod baru dalam membakar lemang, namun belum dipastikan apakah kategori yang ingin kami catat sama ada pembakaran lemang terbanyak atau terpanjang.

“Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut di peringkat DUN Teluk Pasu dengan mengambil kira pandangan semua pihak yang terlibat,” katanya. – BERNAMA

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Berita, Kekeluargaan, Sosial & Masyarakat. Bookmark the permalink.

Leave a comment