Penentu Laksana Projek Ikan Keli Menjana Ekonomi

KUALA TERENGGANU, 10 Julai (Bernama) — Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu) meneroka bidang ternakan ikan keli bagi menjana ekonomi setelah aktiviti menternak udang menemui kegagalan.

Pengurus Besarnya Tengku Mohd Anuar Tengku Mahmood berkata Lembaga Pengarah Penentu meluluskan peruntukan hampir RM50,000 kepada Penentu untuk menggerakkan projek tersebut yang bermula kira-kira dua bulan lepas.

“Memandangkan ikan marin hari ini berkurangan, jadi kita beralih kepada penternakan ikan air tawar di kawasan Kompleks Pendaratan Ikan di Cendering,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, Selasa.

Beliau berkata Penentu memilih kawasan berkenaan untuk menternak ikan keli berdasarkan kemudahan seperti tangki, yang digunakan sebelum ini untuk menternak ikan ketutu, tersedia di situ.

Katanya projek ternakan ikan ketutu terbengkalai berikutan ternakan itu lambat membesar selain kos operasi yang tinggi.

Untuk pusingan pertama, katanya Penentu melepaskan sebanyak 54,000 ekor anak ikan keli dan jumlah itu akan ditingkatkan kepada 75,000 ekor untuk menampung permintaan pada musim perayaan nanti.

“Setakat hari ini keli ini dapat diternak dengan baik dan kita jangka 80 peratus daripada hasil ternakan itu dapat dijual,” katanya sambil berkata setakat ini tempahan diterima daripada Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat).

Biasanya penternakan ikan keli memakan masa antara tiga dan empat bulan sebelum dapat dituai dan Penentu membelanjakan hampir RM10,000 untuk membeli makanan untuk benih ikan berkenaan.

Kos operasi keseluruhan projek itu dijangka mencecah RM33,000 dan ia akan memberi keuntungan kepada Penentu sebanyak sekitar RM14,000 berdasarkan harga ikan pada tahap RM5 sekilogram.

Tengku Mohd Anuar berkata pasaran dan pengedaran ikan keli setakat ini tiada masalah dan sebuah pusat pemasaran ikan air tawar dibina dalam kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu.

Sebelum ini, beliau berkata Penentu telah mengusahakan ternakan udang di Kampung Fikri, Setiu tetapi malangnya tahun ini ternakan itu diserang penyakit menyebabkan pihaknya mengalami kerugian.

Namun begitu, beliau berkata Penentu tidak berputus asa dan akan terus menghidupan kolam-kolam ternakan udang itu dengan ternakan ikan siakap bagi mengukuhkan ekonomi persatuan.

Tengku Mohd Anuar berkata untuk projek tersebut, pihaknya telah memasukkan kira-kira 100,000 ekor anak ikan siakap dalam dua daripada enam bulan kolam yang dijangka menelan kos RM80,000.

Beliau berkata pihaknya mempunyai 40 buah kolam dengan sebahagian besar daripada kolam-kolam itu disewakan kepada pengusaha ternakan udang, manakala selebihnya diusahakan oleh Penentu sendiri.

“Pada tahun lepas kita mendapat keuntungan sebanyak RM300,000 daripada projek udang di Kampung Fikri itu,” katanya.

— BERNAMA

Advertisements

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Berita, Ekonomi & Keusahawanan, Pertanian & Perikanan. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s