KUALA TERENGGANU, 18 Julai (Bernama) — Kerajaan negeri Terengganu akan mengumumkan ganjaran tambahan yang lebih besar dan lumayan sebagai tanda penghargaan terhadap kejayaan atlet kontinjen negeri ini yang berjaya mempertahankan gelaran Sukan Malaysia (Sukma) untuk empat tahun berturut-turut.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata pengumuman mengenai ganjaran istimewa itu akan dilakukan dalam tempoh terdekat dan yakin ia berbaloi dengan usaha gigih para atlet dalam mengharumkan nama Terengganu ke persada sukan tanah air.
“Saya akan maklumkan kemudian dan yang penting ianya berbaloi dengan apa yang akan kita berikan kepada para atlet yang melakar sejarah manis buat Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman di sini Rabu.
Sebelum ini setiap atlet Terengganu yang berjaya merangkul pingat emas dijanjikan insentif sebanyak RM5,000 untuk satu pingat, RM3,000 (satu perak) RM2,000 (satu gangsa).
Ahmad turut mengumumkan insentif tambahan kepada Olahragawan Terbaik Sukma ke-15 dari Terengganu iaitu atlet angkat berat Abdul Mubin Rahim, 21, sebanyak RM10,000.
— BERNAMA