KUALA TERENGGANU 18 Julai – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menyifatkan rakyat yang bangga mengibarkan Jalur Gemilang sebagai mereka yang bersyukur dengan kemerdekaan negara dan telah melakukan sekecil-kecil pengorbanan yang enggan dilakukan individu lain.
Katanya, walaupun perbuatan mengibar Jalur Gemilang itu kelihatan mudah, masih ramai yang enggan melakukannya dengan mengemukakan pelbagai alasan termasuk tidak dibekalkan bendera percuma selain berasa malu untuk berbuat demikian.
Tambah beliau, seharusnya sikap mengibar bendera itu disemai dan dijadikan satu budaya setiap kali menjelang sambutan bulan kemerdekaan tanpa perlu menunggu kempen yang dianjurkan oleh kerajaan.
“Kita tidak meminta rakyat pergi berjuang atau berperang ke medan perang namun sekecil-kecil pengorbanan yang kita boleh lakukan ialah mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga terutamanya ketika sambutan kemerdekaan,” katanya