KUALA TERENGGANU, 17 Julai (Bernama) — Kira-kira 20 peratus daripada 985,000 orang penduduk Islam yang wajib membayar zakat fitrah di negeri Terengganu didapati tidak membayarnya kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) tahun lepas.
Yang di-Pertua Maidam Datuk Mazlan Hashim berkata mereka yang tidak membayar fitrah kepada amil yang dilantik oleh Maidam adalah satu kesalahan dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Ini termaktub dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu tahun 1422H/2001M seksyen 20(b),” katanya pada sidang media bagi mengumumkan kadar fitrah negeri tahun ini di sini pada Selasa.
Mazlan berkata Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin telah memberi perkenan kadar itu ditetapkan RM7.60, RM7 dan RM4.50 mengikut kategori beras yang dimakan.
— BERNAMA