KUALA TERENGGANU 20 Julai – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sedia menubuhkan unit penyelidikan Tropika-Antartika di bawah Institut Oseanografi dan Sekitaran (Inos).
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, ia bagi memudahkan kerja menyelaras program penyelidikan melibatkan perbandingan dan interaksi antara tropika dan Antartika.
“Kita akan tubuhkan unit tersebut di sini (UMT) jika bersesuaian.
“Penubuhan itu secara tidak langsung menunjukkan komitmen tinggi daripada para penyelidik UMT dalam menjayakan program berkaitan Antartika,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM), UMT di sini semalam.
Menurut Ibrahim, UMT sentiasa memberi perhatian yang serius terhadap pembangunan penyelidikan bagi menyokong perkembangan akademik yang mapan.