Sayu tinggalkan Terengganu

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB – utusanterengganu@utusan.com.my

TUN Ahmad Faisal Tun Abdul Razak (dua, kanan) dan Pengarah Pelajaran Negeri, Zakaria Hussin (kanan) beramah mesra dengan peserta Program ETA Fulbright pada majlis meraikan perpisahan mereka di Kuala Terengganu, Terengganu, baru-baru ini. – UTUSAN/AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU 25 Okt. – Segala-galanya dirasakan amat berbeza bagi Jordan Holliday (gambar) , ketika berada dalam persekitaran kehidupan masyarakat desa di negeri ini selama 10 bulan.

Pelajar dari Universiti Chicago Amerika Syarikat (AS) itu menghadapi perbezaan budaya yang ditempuh dan dalam masa sama sering tersalah anggap berbanding apa yang difikirkannya.

Jordan mengimbas beberapa insiden termasuk dia membeli tempoyak yang disangkanya amat sesuai dan enak untuk disapu kepada roti bagi juadah pagi sehingga menimbulkan gelak ketawa pelajarnya.

Dia juga merakamkan sikap berbudi masyarakat setempat meskipun tidak mengenalinya dengan mengambil contoh singgah di sebuah restoran di pinggir jalan lalu memesan air minuman untuk menghilangkan dahaga.

“Saya dihidangkan dengan minuman tetapi apabila mahu membayarnya, mereka menolak dan memberitahu ini rumah mereka dan bukannya restoran,” ujar Jordan ketika menceritakan pengalamannya dalam majlis perpisahan yang dihadiri Duta AS ke Malaysia, Datuk Paul W. Jones di sini baru-baru ini.

Jordan yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ibrahim Setiu merupakan salah seorang daripada 17 peserta Program Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) Fulbright yang ditempatkan di negeri ini sejak Januari lalu dan akan pulang hujung bulan ini.

Rachael Chesley, pelajar Kolej St. Mary’s of Norte Dame turut berkongsi pengalaman bersama Jordan dengan menyimpulkan pengalaman yang dilalui adalah sesuatu yang berharga dan tidak mungkin dilupakan selain hari-hari yang dilalui terasa begitu singkat.

“Selain membantu mengajar bahasa Inggeris yang sungguh mencabar, saya juga banyak belajar tentang kehidupan masyarakat di sini dan juga tentang diri saya. Saya akan pulang dengan baju kurung batik yang cantik,” ujarnya.

Dia yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Permaisuri Nur Zahirah, Besut menyatakan sayu meninggalkan pelajarnya di samping membawa pulang memori indah suasana Ramadan dan sambutan Aidilfitri.

Namun dia dan juga Jordan akan pulang dengan rasa gembira dan bangga apabila pelajarnya menampakkan perubahan untuk menguasai bahasa Inggeris walaupun awalnya malu-malu dan berasa begitu janggal untuk bertutur dengan lebih kerap.

Majlis perpisahan itu diadakan sempena perasmian Pameran Foto 50 Tahun Program Peace Corps Malaysia di Ruang Legar Perpustakaan Awam Negeri di sini.

Yang turut hadir, Pengarah Perpustakaan Negeri, Nor Akmal Abdul Fatah dan Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Program Peace Corps Malaysia dimulakan 50 tahun lalu dengan kehadiran kumpulan perintis 36 sukarelawan AS dalam pelbagai bidang yang ditempatkan di pelbagai institusi dan berkhidmat di kampung serta bandar.

ETA merupakan kesinambungan program Peace Corps yang kembali mengeratkan jalinan hubungan antara rakyat kedua-dua negara melalui khidmat sukarelawan daripada kalangan pelajar institusi pengajian tinggi di AS.

Sementara itu, Paul ketika ditemui pemberita berkata, program ETA untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah menengah yang dirintis di negeri ini pada 2006 akan diperluaskan ke Perak tahun depan.

Katanya, program itu akan melibatkan pertambahan sukarelawan dalam kalangan pelajar universiti dari AS daripada 50 orang pada tahun ini kepada 75 orang kelak dan pendekatan yang diambil akan terus dipertingkatkan.

Keputusan itu ekoran keberkesanan program tersebut dan sambutan yang cukup memberangsangkan sebagaimana program Peace Corps yang mendekatkan hubungan rakyat dan kerajaan kedua-dua negara yang dimulakan lima dekad lalu.

Program ETA diperluaskan hasil perkongsian komitmen Presiden AS, Barack Obama dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usaha merapatkan hubungan antara kerajaan.

Selain di Terengganu, program ETA dikembangkan ke Johor dan Pahang yang mana kumpulan sukarelawan muda ditempatkan di beberapa sekolah terpilih untuk membantu guru subjek Bahasa Inggeris.

Dalam ucapannya, Paul berkata, beliau berbangga kerana semangat Peace Corps masih terus subur sehingga ke hari ini.

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Berita. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s