Terengganu Destinasi Pencinta Kraf Tembaga

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA TERENGGANU, 23 Nov (Bernama) — Industri kraf negara sering dikaitkan dengan penglibatan golongan warga emas ekoran ketidakcenderungan generasi muda menceburi bidang turun-temurun ini.

Disebabkan itu sesetengah kraf dilihat semakin pupus disebabkan tidak ramai pengusahanya.

Namun begitu, keluhan dalam kalangan pengusaha batik dan songket misalnya mungkin tidak sehebat yang dialami industri tembaga.

Pengusaha warisan kraf itu hanya tinggal 13 orang kini di Terengganu.

Menjengah di Pasar Payang, Terengganu, kebanjiran pelbagai rekaan, motif dan warna batik serta songket memenuhi kebanyakan ruang di situ tetapi tidak bagi produk tembaga.

Walhal, permintaan terhadap produk ini (tembaga) di pasaran amat memberangsangkan, kata Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) Terengganu Khairul Hafizi Naharuddin.

“Jualan kraftangan yang direkodkan melalui program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) antara Januari dan Ogos adalah RM42 juta, melepasi sasaran asal RM40 juta. Daripada hasil jualan RM42 juta itu, perusahaan tembaga menyumbang sebanyak RM1.2 juta,” katanya kepada Bernama.

Melihat kepada nilai jualan mencecah RM1.2 juta dalam tempoh masa lapan bulan (tahun 2012), membuktikan industri kraf berusia beratusan tahun ini menerima permintaan yang cukup tinggi.

Bersandarkan kepada keunikan tersendiri, kecantikan dan kekemasan yang terserlah pada peralatan tembaga seperti tepak sirih, periuk belanga, pahar, gobek sirih, menjadikan Terengganu sebagai destinasi bagi pencari, pengumpul dan pencinta tembaga.

Tambahan pula, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang ada perusahaan tembaga.

MOTIVASI BERTERUSAN

Bagi Kraftangan Malaysia, pelbagai usaha dilakukan untuk membantu meningkatkan pembabitan komuniti muda dalam perusahaan tembaga seperti program pembangunan usahawan, skim inkubator, program SDSI serta latihan jangka pendek.

“Daripada apa yang kami perhatikan, ada anak muda sebenarnya tidak berani untuk memasuki industri pembuatan tembaga kerana tidak yakin akan kemampuan diri.

Atas faktor itulah, Khairul Hafizi berpendapat motivasi berterusan perlu diberikan kepada peserta latihan seperti pendedahan terhadap pengusaha tembaga yang berjaya dan potensi industri itu.

Beliau berkata usaha juga perlu ditumpukan kepada mentransformasi industri pembuatan produk tembaga.

Ini kerana, teknik konvensional serta penghasilannya yang dikatakan agak rumit dan memerlukan ketelitian serta kesabaran tinggi itu, menjadi antara faktor kurangnya pembabitan generasi muda dalam industri tembaga.

“Kebiasaannya mereka (pengusaha) sudah selesa dengan teknik warisan, jadi agak sukar menerima pembaharuan, teknologi yang disarankan. Kami tidak bermaksud untuk menidakkan kepakaran mereka, tetapi pembaharuan diperkenalkan untuk memudahkan pembuatan produk tembaga.

“Memandangkan pembuatannya agak sukar, kami menyarankan kepada bentuk mudah. Contoh, kalau sebelum ini tepak sirih memerlukan masa dua minggu, mungkin dengan pembaharuan ini hanya mengambil masa dua tiga hari sahaja untuk disiapkan,” katanya.

BANTUAN KRAFTANGAN MALAYSIA

Dalam menjadikan industri ini tidak dimamah keadaan, Kraftangan Malaysia turut memberi penekanan kepada usaha pembangunan produk tembaga seperti rekaan bentuk terbaharu dan fungsinya.

Sekiranya sebelum ini, produk tembaga hanya sesuai dijadikan perhiasan di dalam rumah kerana takut diserang masalah karat, hasil kajian berjaya melebarkan fungsi produk kraf itu.

“Kita tidak mahu produk tembaga hanya sesuai dipamerkan di dalam rumah sahaja. Untuk projek terbaharu Laman Taman, produk tembaga boleh diguna di luar.

“Menerusi teknik ‘coating’ kini produk tembaga boleh dijadikan perhiasan di taman rumah anda,” katanya.

Selain menambah nilai komersial produk tembaga, usaha pembangunan produk ini juga bertujuan menambah pendapatan pengusaha kraf warisan itu dan menjadikan harganya lebih kompetitif.

Ditanya bagaimana membezakan antara tembaga buatan Terengganu dengan yang diimport dari Thailand, Khairul Hafizi berkata: “Tembaga Terengganu warnanya kuning dan keputihan kerana mempunyai campuran bahan tembaga putih”.

“Berlainan dengan tembaga Thailand, ia bukan sahaja ringan malah warnanya lebih kuning keperangan,” tambahnya.

Walaupun harga produk import lebih murah, produk tembaga Terengganu masih menjadi pilihan pencinta produk kraf berikutan kualiti serta cara pembuatannya yang menepati cita rasa pelanggan.

SAHUT CABARAN

Dalam kalangan industri yang dipelopori golongan warga emas ini ada juga generasi muda yang masih berminat menceburi bidang ini, seperti Mohd Shaharil Harun, 31 tahun.

Minat terhadap pembuatan tembaga disemai sejak kecil apabila sering kali membantu dan melihat ayahnya, Harun Ahmad, mengusahakannya.

Pendedahan secara tidak formal, akhirnya menjurus kepada Mohd Shaharil komited menceburi bidang tembaga sebaik selesai menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana yakin industri itu menjanjikan pendapatan lumayan.

“Saya beruntung kerana dapat mewarisi teknik, kemahiran pembuatan tembaga ini daripada ayah. Bagi mereka di luar sana yang telah mengikuti latihan jangka pendek, jangan takut untuk menceburi bidang ini kerana latihan berterusan akan menajamkan lagi kemahiran anda.

“Untuk mereka yang masih ragu-ragu akan potensi industri ini, bukalah mata dan hati anda bahawa pembuatan tembaga Terengganu sememangnya amat bernilai tinggi. Kalau tidak, sudah tentu saya menceburi bidang lain,” katanya.

— BERNAMA

Advertisements

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Berita, Permandangan, Pelancongan & Rekreasi, Warisan. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s