KUALA TERENGGANU, 13 Dis (Bernama) — Kompleks Taman Ilmu di Bukit Dendong, Besut yang akan menempatkan pelbagai kolej dan universiti tempatan dan luar negara dijangka mampu mencatat keuntungan RM10 juta setahun apabila beroperasi kelak.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata setakat ini enam buah universiti luar negara telah menunjukkan minat untuk membuka kampus cawangan di kompleks berkeluasan 280 hektar itu.
Kompleks bernilai kira-kira RM300 juta itu yang kini 90 peratus siap dijangka mula beroperasi pada pertengahan tahun depan, katanya kepada pemberita selepas sesi pergulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada Khamis.
“Kita juga menyediakan kuota bagi anak Terengganu untuk menimba ilmu di pusat pendidikan terbesar negeri itu nanti,” katanya.
Kompleks Taman Ilmu yang terletak di pesisiran pantai itu akan menjadi pusat pendidikan terbesar di negeri ini dan melengkapkan usaha kerajaan untuk menjadikan Terengganu sebagai Anjung Ilmu.
Kompleks berkenaan yang mula dibina pada 2008 akan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk masjid, dewan konvensyen, stadium, menara, pasar raya dan kemudahan penginapan pelajar.
— BERNAMA