Kekuatan Setiu Kepada Populasi Tuntung Laut

Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali

Bahagian kedua dan akhir rencana dua siri mengenai kemandirian alam semulajadi daerah Setiu dan cabaran serta potensi ekonomi.

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) — Tanah Bencah Setiu bukan sekadar bencah semulajadi yang terluas di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, malah adalah habitat tuntung laut (Batagur borneoensis) paling penting dunia.

Tanah bencah itu merangkumi ekosistem air payau dan rangkaian sungai Setiu, Chalok, Bari dan Merang serta unjuran laguna semulajadi yang mempunyai bukaan tunggal ke laut dengan tebing serta pantai berpasir.

Ekosistem seperti itu telah diketahui sebagai tapak penting pembiakan dan asuhan kepada majoriti spesies ikan komersial, selain kaya dengan benih kerang- kerangan dan anak ikan kerapu yang penting untuk industri perikanan negara.

Laguna sepanjang kira-kira 14 kilometer itu memainkan fungsi penting sebagai tapak tuntung bertelur sekaligus menyokong populasi terbesar tuntung laut negara selain menjadi habitat tuntung sungai (Batagur affinis) dan penyu agar (Chelonia mydas).

Tuntung laut berada dalam kategori spesies haiwan liar yang sangat terancam di dalam Senarai Merah IUCN 2011 manakala tuntung sungai dan penyu agar adalah spesies terancam.

Keperluan pemuliharaan populasi tuntung laut telah dibuktikan melalui kerjasama penyelidikan WWF-Malaysia dan Jabatan Perikanan sejak 20 tahun lepas yang antara lain mendapati bilangan sarang tuntung laut yang merosot dengan drastik.

USAHA MEMULIHARA

Pada 1993, sebanyak 200 sarang tuntung laut berjaya dikumpul di sepanjang pantai Setiu berbanding 154 sarang pada 1995.

Angka itu merosot lagi kepada 114 sarang pada 2009 dan terus jatuh mendadak dengan hanya 67 sarang ditemui pada 2010.

Kerja-kerja pemuliharaan tuntung laut yang dimulakan oleh WWF sejak tahun 2009, mula membuahkan hasil apabila 165 sarang spesies itu berjaya ditemui pada tahun 2011.

Pengumpulan data secara terhad yang dilakukan oleh sukarelawan WWF bermula sekitar 1990 telah membuka jalan untuk WWF bergerak secara sepenuhnya pada tahun 2009.

Pendekatan menyeluruh yang dilakukan termasuk memantau pantai, melindungi telur, mengumpul data dan mengkaji tuntung yang terperangkap dalam peralatan menangkap ikan, selain usaha pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat setempat.

Terkini, WWF yang terus mengumpul data populasi dan status bertelur bagi mengkaji trend populasi tuntung, mendapati sejumlah besar tuntung Sungai Setiu tertangkap dalam jaring atau cangkuk ataupun mati di sungai itu.

BELI BALIK TELUR

Kawasan pantai tuntung dan penyu bertelur terbahagi kepada dua iaitu pantai Kuala Baru Utara dan Kuala Baru Selatan.

Sarang di bahagian utara dipantau oleh pemungut telur berlesen manakala di bahagian selatan pula dipantau oleh renjer WWF.

Seperti yang dijelaskan oleh Pengarah Eksekutif WWF-Malaysia, Datuk Dr Dionysius Sharma, kerja pemuliharaan yang dilaksanakan melalui kerjasama penduduk setempat dan Jabatan Perikanan nyata telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.

“Hasilnya, usaha yang dikenali sebagai ‘Skim beli balik’ yang mana WWF membeli kembali telur tuntung dan penyu daripada pemungut telur berlesen, telah berjaya melindungi sejumlah besar telur berkenaan,” kata beliau.

Walaupun tidak sampai 10 sarang telur telah dijual kepada WWF pada tahun 2009, para pemungut telur dari Kuala Baru Utara serta Mengabang Sekepeng telah meningkatkan kerjasama mereka pada tahun seterusnya.

Ini membolehkan 101 sarang dijual kepada WWF pada tahun 2011 termasuk 47 sarang tuntung laut, yang merupakan satu pencapaian amat membanggakan.

Berbeza dengan keadaan sebelum itu yang mana kebanyakan telur dihantar ke pasar untuk dijual sebagai makanan, WWF berjaya meningkatkan jumlah telur yang dieram dengan kejayaan kadar penetasan kira-kira 78 peratus.

MENDIDIK MASYARAKAT SETEMPAT

Menyedari kejayaan usaha pemuliharaan itu hanya dapat berlaku dengan kerjasama penduduk setempat, WWF telah meningkatkan usaha menyampaikan maklumat kesedaran terhadap pemuliharaan tuntung melalui program awam yang melibatkan penduduk kampung dan pelajar sekolah.

Sejak 2009, mereka gigih menjalankan usaha menyampaikan maklumat di kawasan sekitar khususnya Kampung Mangkuk, Kampung Penarik dan dan Kampung Penarik Baru selain lapan buah sekolah sepanjang kawasan pesisir pantai di Setiu.

Pengetahuan yang dikongsi membolehkan ramai penduduk mendapat peluang kerja sampingan dengan membantu kerja pemantauan termasuk sebagai renjer dan pekerja pusat penetasan.

Mereka turut membantu menyebarkan ilmu yang dipelajari tentang pemuliharaan tuntung selaku jurupandu pelancong sambilan selain mengedarkan risalah pemuliharaan tuntung kepada pelancong, pengusaha penginapan pelancongan dan lain-lain pengunjung Setiu.

Usaha WWF turut menerima sokongan padu daripada Pejabat Perikanan Negeri terutama dalam menyelaraskan pelbagai bengkel, menyediakan bimbingan teknikal serta memastikan syarat dan protokol perlesenan dipatuhi.

DATA TUNTUNG LAUT SETIU

Secara saintifiknya, Tuntung Laut termasuk dalam keluarga penyu Geoemydidae.

Tuntung jantan boleh dikenali melalui tiga jalur hitam memanjang pada karapas dan kepalanya berwarna kelabu atau putih dengan tompok-tompok jingga di bahagian hadapan kepala, manakala tuntung betina mempunyai kepala perang sementara jantan mempunyai karapas berwarna perang-kelabu.

Kebiasaanya, tuntung adalah haiwan herbivor, tetapi ada masanya ia memakan ikan dan haiwan invertebrata kecil.

Tuntung sering membuat sarang dan bertelur pada waktu malam antara bulan Jun dan Ogos.

Daripada beberapa ratus anak tuntung yang berjaya ditetaskan, sebanyak 110 ekor anak tuntung telah dipindahkan ke pusat penetasan untuk tujuan PIT-tagging iaitu penandaan menggunakan cip mikro.

Anak tuntung yang kecil boleh tercedera jika ditanda terlalu awal, oleh itu, ia akan dibesarkan terlebih dahulu sehingga berusia sekitar enam bulan sebelum penandaan cip mikro itu dilaksanakan.

Setakat ini, sebanyak 110 ekor anak tuntung telah dibesarkan di hatceri untuk tujuan ‘PIT-Tagging’ bagi memantau gerakan, jangka bersarang dan kemandirian pada masa depan.

Terkini, WWF melepaskan 80 ekor anak tuntung ke paya Sungai Setiu pada 21 Sept lepas.

— BERNAMA

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Alam sekitar & konservasi, Rencana. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s