Enam kereta ranap ditimbus tanah runtuh

Roflizal Husin (dua dari kiri) melihat keretanya yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Air Puteh, Kemaman, Terengganu, semalam. – UTUSAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR

KEMAMAN 26 Dis. – Enam buah kereta yang diletakkan penduduk di tepi tebing sebuah bukit bagi mengelak daripada banjir, ranap selepas tebing setinggi 20 meter itu tiba-tiba runtuh dan menimpa kenderaan terbabit di Kilometer 139, Jerangau-Jabor awal pagi ini.

Kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu pada mulanya mencemaskan orang ramai kerana dibimbangi kemungkinan terdapat individu yang tidur di dalam kereta mereka, bagaimanapun kebimbangan itu terjawab apabila pihak berkuasa mengesahkan tiada mangsa tertimbus.

Operasi yang dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Tanah Daerah, polis serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berjaya mengeluarkan kereta pertama kira-kira pukul 7 pagi dan terakhir pukul 3 petang ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supritendan Suza Hitam ketika dihubungi mengesahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku berhampiran simpang masuk ke Kampung Air Putih.

Difahamkan, keenam-enam buah kereta berkenaan diletakkan di tepi tebing tersebut kerana jalan yang menghubungkan dua buah kampung iaitu Kampung Air Putih dan Kampung Telandas dinaiki air kira-kira 0.5 meter.

Menurut seorang mangsa, Roflizal Husin, 25, yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat minyak dan gas di Melaka, dia meletakkan keretanya di situ kerana bimbang ditenggelami air setelah rumah keluarganya di Air Putih dilanda banjir.

“Saya pulang ke kampung pukul 6 petang semalam dan semasa sampai di kawasan berkenaan, saya lihat banyak kenderaan diletakkan di situ.

“Jadi saya ambil keputusan untuk turut tinggalkan kereta kerana yakin tempat itu yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah keluarga selamat tetapi lain pula yang berlaku,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dalam pada itu, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Kemaman, Ir. Hasmi Ahmad berkata, pihaknya memantau tempat kejadian dan menganggarkan memerlukan kos sebanyak RM2 juta untuk menyelenggara cerun berkenaan semula.

Katanya, punca kejadian tanah runtuh berkenaan disebabkan hujan lebat berterusan sehingga mengakibatkan struktur tanah menjadi lembut.

Seorang penduduk, Nizam Awang, 33, berkata, sebelum ini kampung berkenaan sering dilanda banjir namun, belum pernah berlaku bencana seburuk itu.

Menurutnya, dia mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila kira-kira empat jam sebelum kejadian tanah runtuh itu, air banjir yang menenggelami rumahnya membawa bersama banyak tanah dan pasir.

“Namun ketika itu, saya tidak mengesyaki apa-apa sehingga dimaklumkan tentang kejadian tanah runtuh yang berlaku kira-kira dua kilometer dari kawasan penduduk,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Lubuk Lesung, Ibrahim Abas pula memberitahu, sejak banjir yang melanda kira-kira empat hari lalu, kira-kira 1,200 penduduk di sekitar kawasan berkenaan terjejas dan telah dipindahkan ke pusat pemindahan berdekatan.

Ujarnya, daripada jumlah itu, kira-kira 700 orang daripada Kampung Telandas dan bakinya dari Kampung Air Putih.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121227/je_01/Enam-kereta-ranap-ditimbus-tanah-runtuh#ixzz2GIe8LQ4E
© Utusan Melayu (M) Bhd

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Berita, Kemalangan, Bencana & Petaka. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s