Sungai Kertih dalam fasa memulihara

SUNGAI Kertih tidaklah terkenal seperti mana Sungai Rajang, Sungai Perak atau Sungai Pahang, namun ada sesuatu yang menarik sedang berlaku di sini.

Penduduk dari beberapa kampung di sepanjang 20 km tebing sungai ini sedang berusaha keras memberi nafas baru kepadanya.

Penubuhan Program Sukarelawan ecoCare disertai kira-kira 400 penduduk dari tiga buah kampung iaitu Kampung Tengah, Kampung Gelugor dan Kampung Telaga Papan.

Ia diselia oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) yang telah bekerjasama dengan para penduduk kampung sejak tahun 2005 untuk menggerakkan satu usaha jangka masa panjang memperbaiki keadaan di sungai ini.

Petronas Chemical Group (PCG) pula menyumbang dana RM400,000 setiap tahun untuk menjayakan program sukarelawan ini.

Matlamat jangka panjangnya amat jelas iaitu menjadikan sungai ini sebagai pusat sehenti untuk program-program kesedaran alam sekitar terutama yang melibatkan hutan paya bakau.

Program penanaman semula pokok bakau juga dilaksanakan di kawasan-kawasan bermasalah yang dikenalpasti.

Kisah bermula

Menurut Presiden MNS, Prof. Dr. Maketab Mohamed, usaha menjalankan program pemuliharaan Sungai Kertih bermula bila lokasi ini dikenalpasti MNS pada 2004.

“Lokasi ini terpilih bukan sahaja kerana Sungai Kertih mempunyai ekosistem bakau yang bagus tapi pada masa yang sama ia adalah penempatan kebanyakan syarikat petrokimia di Malaysia”, katanya.

Lagipun terdapat lebih 30 spesies bakau, lebih 50 spesies burung, dua spesies kelip-kelip serta pelbagai spesies ikan dan siput terdapat di sini, tidak termasuk hidupan lain seperti belangkas, ketam, udang galah, lokan, tung-tung, biawak air dan memerang.

Semua ini boleh didapati di sepanjang 20 kilometer sungai, yang menjadi nadi kepada kawasan bakau seluas 1,295 hektar.

Tambah Maketab, MNS menyedari bahawa usaha mengubah corak pemikiran dan keadaan sekitar akan memakan masa. Jadi, banyak usaha awal yang dilakukan MNS bertujuan untuk merapatkan hubungan dengan penduduk setempat.

“Untuk jangka masa panjang apabila penduduk menyedari akan kepentingan hutan bakau, yang bukan sahaja kepada manusia malahan kepada burung, hidupan liar dan pentingnya pokok dan semuanya itu, baharulah mereka tidak lagi sewenang-wenang menebang pokok atau membangunkan sesuatu kawasan”, katanya.

Penanaman semula pokok bakau

Tambah beliau, pencemaran sungai ini yang berlaku pada masa dahulu sudah semakin berkurangan, kecuali cabaran baharu menghadapi pencemaran yang datang dari pusat pelupusan sampah yang terletak betul-betul di tebing sungai.

Maketab turut berkongsi mengenai kayu ukur kejayaan program pemuliharaan sungai ini, terutama berkenaan program penanaman semula pokok bakau di kawasan bermasalah.

“Mengenai kawasan yang bermasalah (sepanjang sungai) kami menjalankan program dengan penduduk tempatan dan sekolah untuk menyertai program penanaman semula pokok bakau. Kita mempunyai sebuah nuseri kecil dan dengan penglibatan beberapa penduduk kampung akan dapat membantu mengumpul dan menanam benih dalam polibeg sebelum ditanam (di kawasan bermasalah).

“Sekiranya kita memperoleh kejayaan dengan kadar 50 peratus daripada penanaman itu, ia dikira sudah cukup berjaya. Pada masa akan datang kawasan bermasalah akan dapat kita lihat dipenuhi dengan pokok hutan bakau yang baru”, jelas beliau.

Sehingga kini lebih 7,000 pokok bakau sudah ditanam di kawasan-kawasan bermasalah, melibatkan kawasan seluas 11,000 meter persegi.

Program kesedaran dan latihan

Usaha mendidik penduduk sekitar adalah bagi memastikan mereka peka alam sekitar dan sedar akan potensi Sungai Kertih untuk jangka masa panjang.

Program-program MNS bermula dengan mesyuarat pertama Jawatankuasa Penggerak Projek pada September 2005, diikuti penubuhan projek ecoCare dan mesyuarat bersama penduduk tempatan pada dua bulan berikutnya.

Antara pendekatan menarik yang digunakan MNS ialah lawatan ke tempat-tempat pelancongan dan kajian hutan paya bakau, untuk membuktikan bahawa Sungai Kertih adalah aset berharga buat penduduk kampung.

Lokasi pertama yang dilawati ialah Sungei Buloh Wetland Reserve di Singapura untuk menunjukkan ketinggian kelas hutan paya bakau dan ramainya jumlah pengunjung.

Lawatan seterusnya ialah ke Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Larut Matang di Perak yang terkenal mempunyai sistem pengurusan paya bakau terbaik di Asia dan seterusnya ke Kuala Gula di Perak.

Di semua lokasi ini, sukarelawan ecoCare melihat sendiri cara pengurusan hutan bakau yang profesional dan mempelajari teknik memberi penerangan kepada pelancong mengenai hutan paya bakau.

Hari ini, pembinaan Pusat Pendidikan Alam Sekitar ecoCare bernilai RM4.8 juta sumbangan PCG tambah merancakkan penganjuran pelbagai program kesedaran alam sekitar di sini.

Sukarelawan ecoCare turut memainkan peranan besar sebagai duta tempatan, memberi penerangan kepada para pelawat.

Penglibatan warga tempatan

Pengerusi JKKK Kampung Tengah Kertih merangkap Timbalan Pengerusi Sukarelawan ecoCare, Hussin Muda memberitahu Bernama bahawa program ecoCare adalah landasan buat para sukarelawan memberi penerangan kepada penduduk kampung mengenai kepentingan pokok bakau serta hutan di sepanjang sungai.

“Antara sebabnya ialah habitat yang mendiami sungai ini seperti udang dan ketam memang memerlukan pokok bakau, akar-akarnya tempat ikan membiak, tempat ikan bertelur.

“Bila kita tak bela, tak ambil cakna (tahu) nanti hutan pupus, nanti generasi akan datang, anak cucu kita tak akan dapat merasa. Sebab itu kita yang ada sekarang ini kena beri penerangan dan tunjuk ajar kepada dia, kepentingan jaga pokok bakau ini”, jelas beliau.

Tambah beliau, selain program penerangan, sukarelawan ecoCare melibatkan diri dengan aktiviti lain seperti mencari dan menyemai benih pokok bakau, menjadi urusetia pengurusan program-program kesedaran alam sekitar, serta melaksanakan program penanaman semula pokok bakau.

Bagi Mohd Zuhelmi Masduki, 31, kesedaran terhadap kepentingan pokok bakau timbul kerana beliau melihat sendiri kesan dan akibat hakisan yang berpunca daripada penebangan pokok bakau untuk industri arang.

Kerjayanya sebagai posmen tidak menghalang beliau daripada terlibat memberi penerangan kepada mahasiswa universiti dan pelajar sekolah yang datang untuk memahami habitat paya bakau.

Usahawan, Tan Jeng Tzs, 49, berkata satu daripada sebab beliau menyertai pasukan sukarelawan ecoCare kerana keluarganya pernah mengusahakan perusahaan arang di sini pada tahun 1970-an.

Pada waktu itu, permintaan terhadap arang tinggi kerana penggunaan dapur gas masih belum meluas di sini.

Bekalan kuasa elektrik pun hanya dibekalkan 12 jam sehari.

“Kemudian kami menyedari bahawa perniagaan itu tidak baik untuk ekosistem, jadi kami hentikannya. Kami menyedari bahawa kami pernah menebang banyak pokok terutama pokok bakau dan kini adalah masa bagi kami untuk memulangkan sesuatu semula ke bumi”, katanya.

Tarikan pelancongan

Sebenarnya, penubuhan skuad ecoCare dan pembukaan EEC telah membuka satu fasa baru dalam pelan jangka masa panjang yang bakal mengubah masa hadapan Sungai Kertih untuk selamanya.

Ia akan dijadikan lokasi pelancongan.

Menurut Hussin, usaha-usaha sedang giat dijalankan melalui pertubuhan itu untuk menjadikan Sungai Kertih sebagai pusat pelancongan kelip-kelip.

Pusat pelancongan seperti ini terbukti berjaya menarik kehadirian ramai pelancong seperti yang ada di Kampung Kuantan, Kuala Selangor, Selangor.

Penulis turut dibawa melihat kelip-kelip di kawasan Pangkalan Ranggon, kira-kira 10 minit perjalanan menggunakan kereta dari EEC.

Walaupun belum ada pelantar khas untuk keselesaan menaiki perahu, panorama indah ribuan kelip-kelip menerangi suasana malam menjanjikan keasyikan dan kedamaian tersendiri buat pengunjung.

“Di tempat lain, kelip-kelip amat gemarkan pohon Berembang, tetapi di sini ia (kelip-kelip) tidak memilih pokok sebagai tempat bermain, semuanya ia suka”.

“Kami (sukarelawan ecoCare) telah bersepakat untuk terajui usaha ini (pusat pelancongan kelip-kelip) kerana kamilah yang meneroka kawasan ini”, jelas Hussin, sambil menyambung cerita panjang tentang harapannya agar Sungai Kertih kembali “bernyawa”. – Bernama

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Alam sekitar & konservasi. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s