Terengganu Yakin Lebih Cemerlang Di Bawah Jurulatih Baru

KUALA TERENGGANU, 15 Nov (Bernama) — Terengganu yakin mampu mencapai kejayaan lebih baik dalam perlawanan Liga Malaysia musim depan di bawah bimbingan jurulatih baru Mat Zan Mat Aris.

Pengurusnya Datuk Che Mat Jusoh berkata keyakinan itu berdasarkan pencapaian jurulatih itu membawa Terengganu menjadi juara Piala Malaysia 2001 yang lalu.

“Kita yakin kemampuan jurulatih yang berasal dari Kuala Lumpur ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis meletak latihan kerja pasukan Terengganu di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, di sini Selasa, yang turut dihadiri Mat Zan Mat Aris.

Che Mat yang juga Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata tahun depan tugas Terengganu semakin mencabar iaitu selain menghadapi Liga Malaysia, Terengganu juga bakal menghadapi pertandingan Piala AFC.

Katanya Terengganu buat pertama kali dipilih menyertai kejohanan itu berikutan kejayaan pasukan bola sepak negeri itu menjadi juara Piala FA 2011.

Che Mat berkata PBSNT telah memanggil balik dua pemain kelahiran Terengganu untuk memantapkan pasukan tahun depan iaitu Hariri Shafie yang berada dalam pasukan Sabah dan Shamsul Kamal (T-Team).

Selain itu, beliau berkata Terengganu juga akan mendapatkan khidmat beberapa pemain pasukan Harimau Muda.

Katanya Terengganu masih mengekalkan 18 pemain utama dalam usaha untuk mengekalkan prestasi tahun depan.

Mengenai pemain import pula, Che Mat berkata agen-agen telah memberi jaminan akan membawa pemain import yang berkualiti kepada Terengganu.

Beliau berkata pemain import itu penting bukan sahaja untuk menghadapi Liga Malaysia tetapi juga untuk menghadapi Piala AFC.

Terengganu berjaya mencatat kejayaan cemerlang dalam pertandingan Liga Malaysia musim ini iaitu juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia.

— BERNAMA

Advertisements
Posted in Berita, Sukan | Leave a comment

Empat Sekeluarga Tinggal Sehelai Sepinggang Dalam Kebakaran Di Jerteh

BESUT, 15 Nov (Bernama) — Empat sekeluarga tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka hangus dijilat api dalam kebakaran di Kampung Pulau Panjang, Jerteh di sini awal pagi Selasa.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.15 pagi itu turut menyebabkan sebuah kereta dan tiga buah motosikal rosak.

Bagaimanapun tindakan pantas pasukan Bomba dan Penyelamat Jerteh diketuai Wahid Jusoh berjaya menyelamat sebuah lagi rumah yang terletak berhampiran daripada musnah dalam kebakaran itu.

Sementara itu, seorang daripada mangsa, Zulkifli Abd Ghani, 39, yang ditemui di tempat kejadian berkata, ketika kejadian dia sekeluarga sedang nyenyak tidur apabila tiba-tiba dia terjaga dan melihat cahaya merah di luar.

Katanya dia segera mengejutkan isterinya, Fatimah Jaafar, 26, dan segera keluar untuk menyelamat diri dengan masing-masing mendukung anak mereka yang berumur dua dan empat tahun.

“Saya lihat api telah menjulang di bahagian dinding belakang rumah dan saya segera mengejutkan isteri saya dan menyuruhnya keluar sambil mendukung seorang anak (dan saya mendukung seorang lagi anak),” katanya.

Katanya dia dan penduduk kampung cuba memadamkan kebakaran dengan menyimbah air tetapi tidak berhasil sehingga bomba sampai beberapa minit kemudian.

— BERNAMA

Posted in Berita, Kemalangan, Bencana & Petaka | Leave a comment

Memperkukuhkan peranan Perkasa

Oleh FAUZI MOHD. – utusanterengganu@utusan.com.my

RHB Islamic Bank antara syarikat korporat yang prihatin dengan anak-anak yatim di Asrama Darul Falah, Bukit Payong, Marang, baru-baru ini.

MARANG 16 Nov. – Sudah lebih satu dekad Yusof Musa, 70, bersama dengan Persatuan Kebajikan Islam (Perkasa) Terengganu dan terus diberi kepercayaan untuk menerajuinya dalam pemilihan jawatankuasa baru-baru ini.

Yusof selaku Yang Dipertua terus memberi nafas kepada persatuan yang telah diasaskan oleh Datuk Wan Abdul Rahman Long pada 1946.

Setelah melalui rentetan usia yang panjang persatuan itu berdiri kukuh hari ini.

Selepas Wan Abdul Rahman, Perkasa dipimpin oleh tokoh-tokoh seperti Datuk Wan Abdullah Kamal Wangsa, Datuk Kamarudin Idris, Muhamad Salim Ahmad, Musa Awang dan Datuk Setia Jasa Mohd Salleh Awang.

Yusof yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Serada merupakan peneraju kelapan persatuan kebajikan tertua itu, menggantikan Datuk Bentara Luar Omar Pilus.

Perkasa, salah sebuah persatuan yang paling dekat dengan rakyat negeri ini sentiasa mendapat sokongan dan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri dan kerjaan Pusat.

Geran tetap turut diperoleh melalui Jabatan Pelajaran, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), selain sumbangan syarikat-syarikat dan orang ramai.

Dalam usaha memperluaskan peranan sejajar dengan konsep penubuhannya, Perkasa secara perlahan-lahan turut berusaha ke arah menambahkan sumber pendapatan agar membolehkannya mengurangkan pergantungan kepada kerajaan dan orang ramai.

Yusof berkata, dengan berdikari dan mempunyai kewangan kukuh, lebih banyak program kebajikan yang boleh dilakukan bagi membolehkan lebih ramai penerima mendapat manfaat.

”Namun biarlah kita lakukan secara perlahan-perlahan mengikut kemampuan agar ia memberi kesan.

”Kita, jawatankuasa yang menguruskannya memikul amanah dan bebanan yang besar,” ujar beliau kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Menguruskan kebajikan anak yatim melalui asrama Darul Falah Bukit Payong yang diwujudkan pada tahun 1962 merupakan teras kegiatan pertubuhan itu selain aktif dalam aktiviti kebajikan lain dan dakwah yang membina ukhuwah.

Penempatan di atas sebidang tanah dusun seluas 1.4 hektar yang didermakan di Kampung Padang Pak Su Man pada permulaannya, ia menyediakan rumah dan keluarga baru bagi 21 orang anak-anak yatim agar mereka boleh belajar tanpa sebarang kekangan.

Dipelopori Allahyarham Datuk Mohd. Salleh Awang yang merupakan Pegawai Pemeriksa di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) ketika itu, asrama anak yatim berkenaan didirikan secara bergotong-royong hasil derma orang ramai berjumlah RM60,000.

Perkasa kemudiannya membeli 0.8 hektar tanah berhampiran untuk menampung perkembangannya termasuk bagi menyediakan padang permainan dan bangunan tambahan.

Darul Falah yang dihuni 161 orang anak yatim lelaki dan perempuan itu ditadbir oleh seorang pengetua dan dibantu 21 kakitangan terdiri daripada beberapa jawatankuasa kecil termasuk pelajaran, keceriaan, pemakanan dan kokurikulum.

Daripada jumlah itu, 22 adalah murid Sekolah Kebangsaan Bukit Payung dan selebihnya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Payung (127 orang), SMK Tun Telanai (11 orang) dan seorang di SMK Padang Midin.

Katanya, berhadapan masalah kewangan sudah menjadi perkara biasa persatuan itu tetapi untuk melihat anak-anak yatim di bawah jagaannya mendapat pendidikan sempurna dan tempat tinggal yang selesa, apa saja difikirkan perlu akan diusahakan.

“Tebal muka ke hulu ke hilir, dari pejabat ke pejabat untuk mencari dana tampung perbelanjaan sudah menjadi kebiasaan. Dahulu, untuk mendapatkan sumbangan kita yang pergi meminta tapi sekarang ramai dermawan akan cari kita,” katanya.

“Di asrama, program dakwah menjadi pengisian seperti kuliah Maghrib dan Subuh, kelas al-Quran, program Qiamullail, khatam Quran peringkat asrama serta acara tahunan seperti pertandingan nasyid, tilawah al-Quran dan kuiz agama,” katanya.

Bagi menyediakan penginapan yang selesa, dua blok asrama baru dibina pada tahun 2003 melibatkan tiga bilik tuisyen untuk kegunaan pembelajaran dan perbincangan berkumpulan serta sebuah makmal komputer dengan 35 buah komputer.

”Kita mahu jadikan asrama Darul Falah sebagai komplek anak yatim serba lengkap yang akan terus memayungi dan membela mereka yang tidak bernasib baik ini,” ujarnya.

Perkasa juga mempelbagaikan perkhidmatan dan bantuan kepada masyarakat umum yang memerlukan melalui khairat kematian, bantuan malapetaka, penyakit kronik, bantuan persekolahan dan melanjutkan pelajaran.

Kira-kira RM1 juta diperlukan bagi menampung keperluan asrama dan program kebajikan setiap tahun manakala hasil pendapatan terkumpul sekitar lebih RM1 juta hingga lebih RM2 juta setiap tahun.

”Jumlah pendapatan keseluruhan sehingga Ogos lalu sebanyak RM1.567 juta, di mana RM828,000 hasil harta persatuan, RM260,000 sumbangan derma dan RM467,000 geran tahunan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pelajaran dan Maidam.

Aset persatuan termasuklah ladang kelapa sawit seluas 611 hektar di Hulu Cukai Kemaman melalui usahasama dengan sebuah syarikat di samping di Seri Bandi seluas 47.28 hektar kurniaan kerajaan negeri dan diusahakan sendiri.

“Penglibatan Perkasa dalam sektor perladangan sawit di di Hulu Cukai dijangka melonjakkan pendapatannya daripada lebih RM300,000 kepada RM1 juta tahun depan menjelang 2013.

Perkasa juga mempunyai 13 lot premis yang disewakan bagi mendapatkan pulangan tetap di samping melabur dalam perusahaan burung walet dengan mendirikan rumah burung di ladang di Kemaman dan ubahsuai bangunan tiga tingkat di Kuala Terengganu.

”Kita kini merancang membina sebuah kompleks perniagaan empat tingkat di Pengadang Baru Marang dengan anggaran kos RM2 juta yang dijangka dimulakan tahun depan.

”Juga sebuah kompleks perniagaan tiga tingkat yang bakal dijadikan hotel di bandar Kuala Berang dengan kos RM2.2 juta di samping Kompleks Perkasa dua tingkat di tapak asrama yang dianggarkan bernilai lebih RM2.5 juta melalui peruntukan kerajaan negeri,” ujar beliau.

Katanya, pembelian tanah dan membangunkannya tidak melibatkan apa -apa risiko malah memberi keuntungan lebih besar.

Posted in Berita, Kekeluargaan, Sosial & Masyarakat | Leave a comment

Terengganu Belanja RM1.2 Juta Pasang Alat Sukat Fluorida Di Loji Air

DUNGUN, 15 Nov (Bernama) — Kerajaan negeri Terengganu membelanjakan RM1.2 juta bagi memasang tujuh alat menyukat bahan fluorida di loji air di negeri itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Datuk Zaaba Mohd Adib.

Beliau berkata secara Terengganu merancang memasang 14 alat berkenaan di loji air di seluruh negeri tahun ini.

“Lima daripada alat berkenaan sudah siap dipasang di lima loji, dua sedang diperbaiki manakala tujuh lagi sedang disiapkan.

“Alat Fluoride Feeder ini penting bagi memastikan bekalan air mempunyai bahan fluorida di paras yang selamat bagi mencegah berlakunya kerosakan gigi terutama di kalangan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Pergigian Sedunia peringkat negeri di sini pada Selasa yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Kesihatan Terenggannu (Bahagian Pergigian) Dr N Jegarajan.

Zaaba berkata program itu merupakan langkah pencegahan yang paling berkesan, murah dan selamat bagi mengurangkan beban penyakit karies gigi seperti diperakui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

“Dengan pemasangan itu, saya yakin menjelang akhir tahun ini, 100 peratus penduduk di negeri ini yang menerima air berpaip akan menikmati manfaat fluorida yang mampu mencegah kerosakan gigi dengan baik,” katanya.

Beliau berkata masalah karies gigi masih merupakan masalah utama dalam kesihatan mulut di negara ini di mana Terengganu sendiri mencatatkan negeri kedua tertinggi kadar kejadian karies.

Katanya ini dapat dilihat dari kajian Epidemiologi Kebangsaan yang dilakukan pada 2007 mendapati 93.2 peratus iaitu sembilan daripada 10 kanak-kanak berusia enam tahun di Terengganu mengalami karies gigi ataupun gigi berlubang.

Zaaba berkata sehubungan itu pelbagai langkah telah diambil oleh pihak pergigian termasuk memperkasakan program ibu mengandung, program pemfluoridaan air minuman dan program `fluoride varnish’ bagi kejadian karies dari peringkat awal lagi.

Katanya Kementerian Kesihatan juga memperuntukan RM2.6 juta tahun ini kepada Terengganu bagi menyediakan Klinik Pergigian Bergerak.

— BERNAMA

Posted in Berita, Kesihatan & Kebersihan | Leave a comment

Langkah Berjimat Punca Penduduk 3 Kampung Di Hulu Terengganu Dijangkiti Wabak Hepatitis A

HULU TERENGGANU, 15 Nov (Bernama) — Langkah berjimat yang diamalkan kira-kira 800 penduduk di tiga buah kampung yang dilanda wabak hepaptitis A di daerah ini, dipercayai menjadi punca virus itu menjangkiti mereka.

Ini berikutan penduduk di Kampung Basung, Pasir Dula dan Padang Setebu memilih untuk menggunakan air tadahan dari Sungai Kecur di kawasan hutan di Kampung Basung dekat sini sebagai sumber air mereka sejak tahun 1980.

Difahamkan penduduk hanya perlu membayar RM24 setahun untuk kerja-kerja penyelenggaraan saliran dan kawasan tadahan air berkenaan yang dikendalikan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) tiga kampung tersebut berbanding dengan menggunakan bekalan air dari syarikat SATU dengan kos RM30 sebulan.

Pengerusi JKKK Basung Mamat Mat Amin berkata inisiatif yang dibuat oleh penduduk kampung itu adalah untuk mengurangkan kos yang ditanggung mereka kerana kebanyakan daripada mereka hanya bekerja sebagai petani.

“Kita terpaksa menggunakan air tadahan bagi menggurangkan kos tapi bagi pemilik warung mereka menggunakan bekalan air bersih dari syarikat SATU,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.

Bagaimanapun, katanya sebelum ini kampung mereka tidak pernah dijangkiti wabak seumpama itu dan kejadian itu merupakan yang pertama seumpamanya wabak itu melanda tiga buah Kampung.

Tiga kampung di Hulu Terengganu iaitu Kampung Basong, Pasir Dula dan Padang Setebu diisytihar kawasan wabak Hepatitis A apabila 42 orang dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu.

Pada Isnin, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Dr Abdul Rahman Mokhtar berkata bagaimanapun kampung-kampung berkenaan tidak dikuarantin dan boleh dimasuki oleh sesiapa sahaja seperti biasa.

Beliau berkata bermula Isnin, 27 orang dari Kampung Basong dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu, 14 orang dari Kampung Pasir Dula manakala pada hari ini pula, seorang lagi dari Kampung Padang Setebu.

Bagaimanapun daripada jumlah itu, sembilan orang telah dibenarkan keluar dari hospital manakala 33 masih ditahan untuk menerima rawatan.

Tinjauan Bernama mendapati Jabatan Kesihatan negeri juga mengambil inisiatif dengan meletakkan klorin di kawasan-kawasan punca air untuk pembasmian kuman yang menjadi punca wabak itu.

— BERNAMA

Posted in Berita, Kesihatan & Kebersihan | Leave a comment

Tiga Kampung Di Hulu Terengganu Diisytihar Kawasan Wabak Hepatitis A

HULU TERENGGANU, 14 Nov (Bernama) — Tiga kampung di Hulu Terengganu iaitu Kampung Basong, Pasir Dula dan Padang Setebu diisytihar kawasan wabak Hepatitis A apabila 42 orang dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu sehingga Isnin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Dr A Rahman Mokhtar berkata bagaimanapun kampung-kampung berkenaan tidak dikuarantin dan boleh dimasuki oleh sesiapa sahaja seperti biasa.

“Cuma kita nasihatkan sesiapa yang masuk ke kampung berkenaan, pastikan makanan yang hendak dimakan daripada sumber yang bersih. Kakitangan kita yang masuk ke kampung berkenaan juga diingatkan supaya menjaga kesihatan dengan baik,” katanya kepada pemberita ketika melawat mangsa di hospital itu di sini hari ini.

Dr A Rahman berkata bermula semalam, 35 orang dari dua kampung dimasukkan ke hospital iaitu dari Kampung Basong 27 orang dan 14 orang dari Kampung Pasir Dula manakala pada hari ini pula, seorang lagi dari Kampung Padang Setebu.

Bagaimanapun daripada jumlah itu, sembilan orang telah dibenarkan keluar dari hospital manakala 33 masih ditahan untuk menerima rawatan.

Katanya semua sampel darah daripada pesakit dihantar ke Kuala Lumpur untuk dianalisis bagi memastikan wabak sebenar.

“Tetapi menurut pakar perubatan kes ini lebih kepada wabak Hepatitis A,” katanya.

Dr A Rahman berkata sebagai langkah proaktif, Jabatan Kesihatan Hulu Terengganu mengambil beberapa langkah bagi membendung wabak itu, antaranya menubuhkan jawatankuasa wabak bagi menangani kes berkenaan.

Katanya jabatan juga mengambil inisiatif dengan meletakkan klorin di kawasan-kawasan punca air untuk mematikan kuman yang menjadi punca wabak itu.

“Kita kenal pasti bahawa punca wabak itu adalah daripada jangkitan kuman melalui air minuman atau makanan. Kampung berkenaan mendapat sumber air yang ditakung di atas bukit dan menyalurkannya ke rumah-rumah penduduk.

“Daripada siasatan, kita melihat ada tanda-tanda Orang Asli membuat pondok atau bangsal di tempat sumber air berkenaan dan mereka ini mungkin ada menjalankan aktiviti yang boleh mencemarkan air kerana kita dapati virus berkenaan adalah daripada najis manusia,” katanya.

“Kita telah berbincang bagaimana hendak pastikan Orang Asli tidak membina pondok di tempat takungan air. Saya cadangkan supaya dilantik tiga atau empat Orang Asli untuk menasihatkan atau menegah kumpulan mereka jangan mengadakan aktiviti di kawasan punca air bagi menghindar wabak itu,” katanya.

Katanya Jabatan Kesihatan juga membuka bilik gerakan dan klinik bergerak di Balai Raya Kampung Pasir Dula meminta semua orang kampung membuat pemeriksaan.

Beliau berkata kes-kes tidak serius akan dirawat di situ manakala kes yang agak berat akan dirujuk ke hospital.

Katanya semua keadaan mangsa yang masih dirawat kini beransur pulih.

— BERNAMA

Posted in Berita, Kesihatan & Kebersihan | Leave a comment

MAS Jadi Syarikat Penerbangan Rasmi Piala Monsun 2011

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) — Malaysia Airlines (MAS) merupakan syarikat penerbangan rasmi bagi Piala Monsun, acara kemuncak berprestij Siri Jelajah Match Racing Dunia (WMRT) yang akan diadakan di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Kuala Terengganu.

Acara berkenaan dijadualkan berlangsung mulai 22 hingga 27 Nov ini.

Naib Presiden Kanan Jabatan Jualan Malaysia MAS, Azman Ahmad berkata adalah satu penghormatan bagi MAS untuk dikaitkan dengan Piala Monsun, regata pelayaran antarabangsa yang menarik pelayar-pelayar terbaik dari seluruh dunia.

“Saya pasti acara tahun ini akan lebih menarik dari tahun lepas dan kita boleh mengharapkan satu lagi perlumbaan yang mendebarkan sehingga ke penamat. Kami gembira menjadi sebahagian daripada kerjasama dan perkongsian strategik ini dengan T-Best Events, penganjur Piala Monsun.

“Matlamat kami adalah untuk memanfaatkan inisiatif ini untuk memastikan peningkatan jenama kami dalam pasaran perjalanan udara korporat,” katanya dalam satu kenyataan.

Azman berkata penajaan berkenaan juga merupakan sumbangan syarikat ke arah projek permulaan Program Transformasi Ekonomi Kerajaan untuk sektor pelancongan.

Program itu menyasarkan acara antarabangsa untuk menarik pelancong dan memberi rangsangan kepada industri pelancongan Malaysia, kata beliau.

“Penglibatan kami dengan acara-acara sukan bereputasi seperti ini pasti mempromosikan Terengganu sebagai destinasi antarabangsa untuk sukan, perniagaan dan pelancongan,” kata beliau.

Azman berkata dalam perkongsian strategik ini, MAS akan menyediakan pengangkutan udara premium untuk pelayar, ahli jawatankuasa teknikal pertandingan, pengadil antarabangsa, dan anggota media yang masuk dan keluar untuk kejohanan eksklusif ini.

Sementara itu, Penasihat Perlumbaan Piala Monsun Datuk Peter Gilmour berkata mereka gembira dengan sokongan yang diberikan oleh MAS dalam membantu meningkatkan prestij acara ini.

“Ini menjadi petunjuk jelas tarikan global Piala Monsun dan peluang sebagai satu saluran untuk penajaan sukan,” kata beliau.

MAS dan anak-anak syarikatnya merupakan penyokong konsisten dalam aktiviti-aktiviti pelancongan sukan di Malaysia dengan menjadi syarikat penerbangan rasmi untuk acara seperti kejohanan Golf Terbuka Malaysia, Kejohanan Golf Antara Pasukan Amatur Dunia, Le Tour de Langkawi dan Klasik Asia Pasifik CIMB baru-baru ini.

Tahun lepas, Firefly, anak syarikat MAS adalah syarikat penerbangan rasmi untuk Piala Monsun.

— BERNAMA

Posted in Berita, Sukan | Leave a comment