320 unit rumah teres PPRT untuk rakyat miskin

Ahmad RAZIF ABDUL RAHMAN (tengah) bersama penerima kunci serta KUALA TERENGGANU 5 Nov. (Utusan) – Kerajaan negeri akan membina sejumlah 320 unit rumah teres Projek Perumahan Rak­yat Termiskin (PPRT) yang dilengkapi pelbagai kemudahan asas secara percuma kepada rakyat miskin pada tahun depan. Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, ketika ini beberapa lokasi sesuai sudah dikenal pasti untuk pembinaan 10 buah rumah di setiap 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dianggarkan bernilai kira-kira RM40,000 seunit itu.

Katanya, menerusi usaha di ba­wah agenda Transformasi Terengganu Baharu (TTB) itu, Terengganu menjadi satu-satunya negeri yang melaksanakan konsep rumah teres PPRT secara percuma kepada orang miskin untuk membantu golongan kurang berkemampuan memiliki kediaman sendiri.

“Kita akan bina rumah PPRT menggunakan konsep baharu yang lebih selesa serta lengkap dengan infrastruktur asas termasuk taman permainan, surau dan lain-lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran Rumah Mampu Milik (RMM) Hamparan Permai di Batu Hampar, Manir, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari merangkap Ahli Parlimen Hulu Terengganu dan Yang Dipertua DUN, Datuk Mohd. Zubir Embong. Pada majlis itu sebanyak 172 pe­nerima fasa pertama daripada kese­luruhan 437 unit RMM itu menerima kunci kediaman masing-masing yang bernilai RM68,000 seunit.

Ahmad Razif memberitahu, selain pembinaan kemudahan asas, pihaknya turut merancang pelbagai aktiviti perniagaan menerusi pembangunan kedai-kedai di kawasan sekitar PPRT itu bagi menjana ekonomi dan kebajikan penduduk miskin. Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri akan membina sejumlah 10,000 unit RMM lagi pada tahun depan sejurus selepas kerja-kerja pengagihan RMM sedia ada diselesaikan akhir tahun ini.

Menurutnya, ketika ini terdapat kira-kira 2,000 unit RMM yang telah siap dibina di lapan lokasi seluruh negeri dan akan diagihkan kepada rakyat dalam masa terdekat. “Kita akan selesaikan agihan semua rumah tahun ini juga dan saya juga sudah arahkan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menyemak semula senarai pemohon yang layak tetapi belum mendapat rumah untuk diberi pertimbangan lanjut,” katanya.

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Kekeluargaan, Sosial & Masyarakat, Kerajaan & Pentadbiran. Bookmark the permalink.

Leave a comment