Gerakan diperhebat pastikan HSNZ sifar tikus

MUHAMMAD Pehimi Yusof (kiri), Anwa Sulaiman (kanan) dan Abdul Rahim Abdullah melihat bangkai tikus di pekarangan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/Syazwani Sobri

KUALA TERENGGANU 7 Ogos – Gerakan bersepadu akan diperhebatkan melalui pembentukan jawatankuasa bertindak dalam usaha memastikan persekitaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini ‘sifar tikus’ dan imejnya tidak tercemar.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, tindakan proaktif dan segera sudah diambil termasuk memasang lebih banyak perangkap dan bekas racun di lokasi-lokasi sasaran.

Katanya, antara kawasan yang dikenal pasti sebagai tempat tumpuan untuk memasang perangkap menggunakan sangkar dan gam itu adalah lokasi penyimpanan kain dan pakaian, stor yang kurang dikunjungi serta tempat menyediakan makanan.

“Selain itu, pihak hospital juga mengambil pendekatan tegas dan serius berhubung larangan membawa masuk makanan dan meningkatkan kekerapan kutipan sampah serta pengawalan kebersihan premis-premis makanan di luar pekarangan HSNZ oleh pihak berkuasa tempatan.

“Apa yang lebih mustahak adalah menghapuskan sumber makanan tikus di sekitar kawasan hospital. Saya yakin dengan usaha berterusan pihak pengurusan hospital, soal tikus tidak akan mengganggu keselesaan pesakit dan pelawat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan Aidilfitri bersama warga kerja HSNZ hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Anwa Sulaiman dan Pengarah HSNZ, Dr. Abdul Rahim Abdullah.

Tikus yang didakwa berkeliaran di dalam wad hospital berkenaan menjadi viral dalam laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Muhammad Pehimi yang berterima kasih kepada orang awam berkata, jawatankuasa ditubuhkan sejak empat hari lalu itu telah bertindak pantas untuk mengatasi masalah itu dengan hampir 50 ekor tikus ditangkap dalam tempoh singkat.

Katanya, usaha membasmi tikus dilakukan berterusan selama ini dan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 460 ekor tikus berjaya ditangkap.

Muhammad Pehimi berkata, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk menguatkuasakan tindakan ke atas peniaga yang tidak berlesen di sekitar hospital selain menangani isu sampah-sarap.
© Utusan Melayu (M) Bhd

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Kesihatan & Kebersihan. Bookmark the permalink.

Leave a comment