Pasar Paka kotor, busuk

Sumber: Berita Harian

Oleh Mohd Zawawi Mat Ail – bhkt@bharian.com.my – 2010/05/06

‘hilang sabar’ tunggu premis baru siap

PAKA: Peniaga ikan dan sayur di Pasar Paka di sini meminta pihak yang berkaitan menyegerakan penyempurnaan pembinaan pasar baru yang sepatutnya siap September tahun lalu kerana sudah lama mereka bersabar dengan berniaga dalam keadaan serba kekurangan di pasar yang sangat daif itu.

Berikutan keadaan pasar yang serba kekurangan, jumlah pelanggan merosot setelah ramai mereka beralih mengunjungi pasar mini dan kedai runcit yang turut menjual ikan dan sayur dalam persekitaran lebih selesa walaupun harga jualan lebih mahal.

Penjual ikan, Abdullah Husin, 44, berkata berikutan ruang niaga yang sangat sempit, peniaga terpaksa meletak tong ikan hingga ke luar pasar walaupun sedar tindakan itu menyukarkan pengunjung untuk meletak kenderaan.

“Pelanggan sering merungut tiada ruang parkir dan mereka tiada pilihan, selain meletakkannya di bahu jalan untuk membeli bahan makanan segar di pasar ini,” katanya.

Rakannya, Ramli Salleh, 48, berkata semakin hari pendapatan peniaga merosot teruk apabila jumlah pelanggan ke kawasan itu semakin berkurangan.

“Jarak antara petak niaga yang terlalu dekat menyebabkan pelanggan enggan datang ke petak niaga di bahagian tengah kerana bimbang terkena percikan air ikan.
“Keadaan longkang yang tidak sempurna menyebabkan kawasan pasar busuk kerana air buangan tidak dapat mengalir dengan sempurna.

“Kami sendiri tidak selesa dengan bau busuk apatah lagi pelanggan,” katanya yang sudah berniaga ikan sejak 15 tahun yang lalu.

Peniaga sayur, Sulaiman Ariffin, 37, berkata ketiadaan penghadang dan saluran air di bumbung yang berlubang memaksa peniaga meninggalkan gerai ketika hujan.

“Kekurangan kemudahan dan prasarana yang terabai di pasar ini menyebabkan pengunjung berkurangan hinggakan sebahagian peniaga sayur terpaksa menutup perniagaan kerana pendapatan yang tidak menentu,” katanya.

Seorang pengunjung, Mastura Hamzah, 38, berkata penduduk di bandar ini sudah lama menantikan sebuah pasar awam yang lengkap dengan kemudahan asas yang selesa, seiring dengan kemajuan negara.

“Walaupun pihak berkuasa menyediakan tandas, ia tidak dapat digunakan kerana sudah tersumbat dengan sampah sarap dan satu dikunci,” katanya yang mengakui terpaksa datang ke pasar itu kerana tiada pilihan untuk membeli bahan makanan segar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka, Mohd Ariffin Abdullah, berkata masalah ketiadaan ruang parkir, laluan antara ruang niaga yang sempit, longkang tersumbat dan pelbagai kekurangan lain yang terpaksa ditanggung orang ramai dan peniaga di pasar itu akan selesai tidak lama lagi.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, yang turut berkunjung ke tapak pasar baru dalam lawatan sehari beliau ke daerah ini baru-baru ini sudah mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa tempatan daerah Dungun untuk memastikan bangunan pasar baru itu disiapkan menjelang hujung Jun ini.

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a comment