Norshahrul Idlan, Nurusyahamah Dicalon Terima Anugerah Program Merdeka Peringkat Besut

BESUT, 13 Sept (Bernama) – Pemain bola sepak negara Norshahrul Idlan Talaha dan pemenang tempat ketiga Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak Antarabangsa Nurusyahamah Taqiah Nurunnaji dicalon sebagai penerima Anugerah Program Semarak Merdeka peringkat daerah Besut.

Pengerusi Publisiti, Komunikasi dan Media Program Halimah Awang Chik berkata mereka dicalonkan bagi kategori Tokoh Harapan berdasarkan sumbangan besar dalam menaikkan nama negara, negeri mahupun daerah dalam bidang masing-masing.

Beliau berkata anugerah itu akan disampaikan pada Perhimpunan Semarak Merdeka daerah Besut anjuran bersama UMNO bahagian berkenaan, Pejabat Daerah Besut dan Pejabat Penerangan, yang dijangka disertai 15,000 peserta di Dataran Jerteh Souq bermula 8.00 pagi, 24 Sept ini.

“Sebanyak 4 kategori anugerah diwujudkan dan lebih 60 tokoh, yang merupakan anak-anak Besut yang berjaya dalam pelbagai bidang, akan menerima anugerah khas pada hari berkenaan,” katanya kepada pemberita Selasa.

Halimah berkata kategori lain ialah Pejuang Kemerdekaan, Tokoh Kemerdekaan, Ikon Kemerdekaan membabitkan bidang keusahawanan, akademik, politik dan kerjaya.

Calon lain termasuk Penasihat FELDA Tan Seri Yusof Nor, bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas, bekas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah, bekas Ketua UMNO Bahagian Besut Datuk Bakar Ahmad serta bekas Speaker Dewan Undangan negeri Terengganu Datuk Che Mat Jusoh dan Datuk Hussin Awang.

Selain itu, Panglima TUDM Tan Sri Rodzali Daud, Ketua Pengarah Rela Datuk Mustaffa Ibrahim ,Profesor Datuk Dr Wan Kamaruzaman Wan Su, bekas Ketua Wanita Umno Terengganu Wan Ramlah Wan Ahmad, dan Naib Canselor Unisza Datuk Alias Daud.

Pada hari berkenaan, sejumlah 100 kereta berhias, 100 kenderaan pacuan empat roda, 100 pemandu kereta sewa, 100 motosikal dan 225 pasukan termasuk empat ekor gajah, akan berarak menuju ke dataran Jerteh Souq bagi mengikuti program yang diadakan.

— BERNAMA

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Berita, Kekeluargaan, Sosial & Masyarakat. Bookmark the permalink.

Leave a comment