Letak kereta: MBKT ikut sistem China

KUALA TERENGGANU 21 Jun (Utusan) – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menggunakan sistem meletak kenderaan dari negara China di kompleks letak kenderaan Jalan Batas Baru dalam usaha menyelesaikan masalah kekurangan tempat meletak kenderaan di pusat bandar.

Datuk Bandar, Datuk Mohd. Adzlan Dagang berkata, sistem itu diperkenalkan selepas pihaknya dan kerajaan negeri berpuas hati apabila melihat cara penggunaannya di China.

Menurut beliau, kompleks meletak kenderaan empat tingkat itu akan mampu menampung sebanyak 200 kereta pada satu-satu masa.

Katanya, sistem yang pertama diperkenalkan di negara ini akan mampu menambah tempat meletak kereta yang banyak di kawasan yang agak terhad.

”Ia akan berfungsi seperti sebuah merry-go-round di mana pemilik kereta akan meletak kenderaannya di tempat yang ditetapkan dan mesin akan membawa ia ke ruang meletak kenderaan yang kosong.

”Pemilik hanya perlu mengingat nombor tempat keretanya ditempatkan sahaja apabila hendak mengambil semula kenderaan,” katanya selepas sidang akhbar Pertandingan Bintang P. Ramlee Peringkat Negeri 2010 di RTM Terengganu di sini hari ini.

Mohd. Adzlan berkata, kompleks berkenaan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan lagi jika proses pembinaannya berjalan lancar.

”Dalam pertemuan dengan kontraktor baru-baru ini, saya telah berpesan kepadanya supaya memastikan projek ini dibuat dengan baik kerana ia merupakan pengenalan pertama kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pelbagai perancangan telah dibuat untuk mencantikkan lagi landskap di Kuala Terengganu.

Katanya, antaranya adalah penanaman pelbagai saiz pokok untuk menjadikan daerah itu lebih harmoni.

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Berita, Kerajaan & Pentadbiran. Bookmark the permalink.

Leave a comment