Taman Sri Manir Diserang ulat gonggok

Keselesaan penduduk Taman Sri Manir terjejas angkara serangga

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Serangan ulat gonggok menyebabkan lebih 1,000 penduduk Taman Sri Manir di sini, keresahan apabila hampir setiap penjuru dinding dan lantai rumah mereka dipenuhi ulat berwarna hitam berbelang kuning itu sejak tiga bulan lalu.

Serangan ulat itu yang dikenali dengan nama saintifik Harpaphe Haydeniana bertumpu di blok 14 unit rumah teres kos rendah yang terletak berhampiran kawasan semak.

Tinjauan Edisi Timur ke kawasan perumahan itu mendapati penduduk sibuk membersih dinding luar, tingkap, dapur serta bilik air dipenuhi ulat sepanjang lima sentimeter itu, dipercayai membiak di kawasan belakang rumah mereka yang ada dua blok bangunan rumah burung walet.

Penduduk, Liom Khig Jong, 47, berkata mereka tidak pernah berdepan serangan ulat gonggok yang sebegitu banyak hingga setiap penjuru rumah dihuni serangga itu.

Katanya, dia berasa geli dan jijik apabila melihat ulat merayap masuk ke dalam rumah dan apabila dimusnahkan ia mengeluarkan cecair hitam yang busuk.

“Saya terpaksa membunuh ulat itu setiap hari dan menutup cermin tingkap belakang rumah bagi mengelakkan ulat itu masuk rumah. Saya tidak tahu dari mana ulat ini datang kerana selama sembilan tahun tinggal di perumahan ini, tidak pernah melihat ulat gonggok sebanyak ini,” katanya.
Norhishame Awang Hamat, 31, berkata rumahnya juga dimasuki ulat menerusi pintu belakang dan memenuhi bilik air, bilik tidur dan dapur.

“Saya baru berpindah ke rumah ini sebulan lalu, tetapi harapan untuk tinggal di kediaman selesa tidak tercapai kerana rumah kami penuh dengan ulat gonggok.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab termasuk Pejabat Kesihatan dapat mengambil tindakan untuk memusnahkan ulat ini yang semakin hari semakin banyak,” katanya.

Lee lai Ching, 32, pula berkata dia terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan membeli penyembur racun serangga untuk memusnahkan ulat itu sejak tiga bulan lalu.

Katanya, walaupun setakat ini ulat itu tidak menunjukkan ancaman berbahaya dari segi kesihatan tetapi ia mengganggu keselesaan mereka kerana berada di merata tempat dalam rumah termasuk bilik tidur dan bilik mandi.

Sementara itu, Ahli Majlis Dewan Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Ching Hong Boey, ketika dihubungi berkata setakat ini pihaknya belum menerima aduan daripada penduduk di taman itu mengenai serangan ulat gonggok ke rumah mereka.

Bagaimanapun, katanya berikutan maklumat itu, MBKT akan diminta supaya menghantar Unit Kesihatan membuat tinjauan keadaan rumah penduduk yang terbabit dengan serangan ulat itu di taman berkenaan.

“Kita akan hantar anggota Unit Kesihatan MBKT untuk memantau keadaan dan mengambil langkah yang perlu untuk menghapuskan serangan ulat itu,” katanya.

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Berita, Kekeluargaan, Sosial & Masyarakat. Bookmark the permalink.

Leave a comment