Umno DUN Seberang Takir Buka Pusat Rawatan Untuk Pesakit Angin Ahmar

KUALA TERENGGANU, 23 Jun (Bernama) — Bagi menjaga kebajikan dan kemudahan pesakit angin ahmar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir menjalani rawatan susulan, Umno menyediakan Pusat Rawatan Kesihatan Fisioterapi di Bangunan Penyelaras Umno DUN Seberang Takir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Negeri Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata pusat itu dijadual siap dan beroperasi menjelang September ini.

Beliau berkata kemudahan pengangkutan juga bakal disediakan untuk mengambil dan menghantar pesakit angin ahmar yang kebanyakannya adalah orang tua dari rumah masing-masing.

“Sebelum ini, mereka terpaksa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk membuat rawatan fisioterapi yang agak menyukarkan mereka dari segi batasan pergerakan, tenaga dan wang ringgit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program gotong royong perdana mencegah denggi di Kampung Baru Seberang Takir di sini, hari ini.

Beliau berkata ketika ini urusan pembelian peralatan fisioterapi sedang dilakukan dengan kerjasama kerajaan negeri Terengganu dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

— BERNAMA

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Berita, Kekeluargaan, Sosial & Masyarakat. Bookmark the permalink.

Leave a comment