Dari Mana Bedil “Buka Puasa” Ditembak?

Sempena bulan puasa ini, umat Islam di sekitar Kuala Terengganu tidak akan lupa panduan tembakan bedil untuk waktu mula dan berbuka puasa mereka. Untuk itu saya memetik satu tulisan lama bertajuk di atas.

****************************

Dari Mana Bedil “Buka Puasa” Ditembak?

Bagi penduduk Kuala Terengganu, dentuman tembakan bedil amat sinonim dengan bulan Ramadhan atau sebaliknya. Malah, sesetengah mereka merasakan “tidak sah” apabila untuk beberapa tahun di awal tahun 2000an dentuman bedil tidak kedengaran.

Namun, saya baru mengetahui bahawa betapa ramainya penduduk Kuala Terengganu sendiri tidak mengetahui di mana sebenarnya lokasi bedil itu ditembak. Dari perbahasan dalam beberapa posting di blog Awang Goneng (http://kecek-kecek.blogspot.com/) [penulis buku “Growing Up in Trengganu“] benar-benar menunjukkan sememangnya ramai penduduk Kuala Terengganu yang sekadar agak-agak sahaja lokasi tembakan dentuman yang menandakan waktu berbuka puasa, waktu imsyak dan tanda mulanya Ramadhan dan Syawwal.

Semenjak kecil lagi, saya sememangnya sentiasa melihat tembakan ini. Dari kawasan perumahan kuarters kerajaan Lorong Mok Pe, memang kita dapat lihat dengan jelas cahaya lonjakan bahan letupan dari rumah kecil berwarna putih di puncak Bukit Pak Apil. Dengan bunyi kecil “duup” apabila bahan tersebut melonjak tinggi ke udara hinggalah dentuman kuat apabila bahan tersebut meletup kurang tiga saat selepas itu. Memang mengasyikkan bagi kanak-kanak kecil apabila beberapa das tembakan dibuat bagi menandakan mulanya bulan puasa atau esoknya kita akan berhari Raya.

Semasa kecil, ketika dalam perjalanan berbasikal dengan ayahanda ke Masjid Putih untuk solat Subuh, dentuman menanda waktu imsyak selalunya berbunyi ketika kami sedang berkayuh di Jalan Paya Bunga yang sunyi dan lengang. Cahaya dari bahan letupan yang sedang melonjak tinggi ke udara dapat menerangi suasana yang gelap sebelum subuh itu.

Apabila pulang dari KL untuk berhari Raya semalam, saya terus menjejak tapak tembakan bedil tersebut dan mengambil gambar untuk dikongsi bersama dan agar tidak lagi timbul kesangsian di kalangan penduduk Kuala Terengganu. Sayangnya sekitar tapak tembakan bedil itu kini sedang berubah. Lereng bukitnya sudah digondol. Malah, kalau dulu sukar untuk melihat pondok tempat tembakan tersebut kini sudah dapat dilihat dengan jelas dari bandar – hampir mana-mana lokasi sebelah timur bukit tersebut.

Saya telah sediakan peta lokasi untuk menjelaskan kedudukan sebenarnya serta panorama Bukit Pak Apil dengan memberi gambaran lokasi tapak tembakan bedil (bulatan merah sebelah kanan di bawah) berbanding dengan Stesen RTM (bulatan merah sebelah kiri) yang mempunyai laluan yang berbeza.

Panorama Bukit Pak Apil diambil dari Jalan Pusara bersebelahan Perkuburan Sheikh Ibrahim

Panorama Bukit Pak Apil diambil dari Jalan Pusara bersebelahan Perkuburan Sheikh Ibrahim

Panorama Bukit Pak Apil diambil dari Jalan Pusara bersebelahan Perkuburan Sheikh Ibrahim (klik pada imej untuk paparan yang lebih besar)

Lokasi sebenar tembakan bedil berbuka puasa

Lokasi sebenar tembakan bedil berbuka puasa

InshaAllah, saya akan berkongsi banyak lagi gambar yang diambil dari puncak Bukit Pak Apil ini dalam posting berikut. [boleh rujuk “Being Under the Explosion of the Bedil“]

25 September, 2008

sumber: http://akarimomar.wordpress.com/2008/09/25/dari-mana-bedil-“buka-puasa”-di-tembak/

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Kekeluargaan, Sosial & Masyarakat, Rencana and tagged , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a comment