Abdul Hadi Puji Kerajaan BN Beri Subsidi Diesel Kepada Nelayan

KUALA TERENGGANU, 12 Dis (Bernama) — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memuji usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memberi subsidi diesel kepada golongan nelayan yang memberi banyak faedah kepada golongan itu.

“Subsidi diesel ini sangat bagus…memang bagus…kita puji kerajaan beri subsidi diesel ini kerana menyelesaikan banyak masalah…,” kata anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Rhu Rendang itu dalam sesi perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada Rabu.

Namun beliau berharap pemberian subsidi itu dipantau bagi memastikan tidak berlaku ketirisan kerana beliau mendakwa “ada juga masalahnya antaranya dimonopoli oleh armada besar yang menggunakan pekerja asing sehingga menakutkan nelayan kecil pergi mengambil minyak”.

Abdul Hadi juga memuji usaha membina kilang ais untuk kegunaan nelayan.

Dalam pada itu, beliau meminta kerajaan negeri supaya membuka peluang kepada pelabur membina kilang baja dan makanan ternakan supaya petani dan penternak mudah mendapatkan kemudahan tersebut pada harga lebih rendah.

— BERNAMA

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Berita, Kerajaan & Pentadbiran. Bookmark the permalink.

Leave a comment