Suspek Curi Penutup Bumbung Tangki Air Diberkas

BESUT, 12 Dis (Bernama) — Suspek yang dipercayai mencuri kepingan bumbung penutup dan alatan penyokong tangki air yang diperbuat daripada aluminium milik Syarikat Air Terengganu (SATU) di Bukit Kecil Baru, Kampung Batang Gergaji, Jabi dekat sini berjaya diberkas malam Selasa.

Polis dengan bantuan anggota RELA dan penduduk kampung memasang perangkap di tempat kejadian dan berjaya memberkas dua lelaki tempatan berumur lingkungan 30-an yang cuba melakukan jenayah itu.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Zakaria berkata polis yang menunggu di satu lokasi tersorok kira-kira 10 malam, melihat dua lelaki datang dengan dua buah motosikal dan masuk ke dalam kawasan tangki berkenaan melalui lubang pada pagar yang ditebuk penceroboh sebelum memasuki kawasan tangki itu.

Katanya dua suspek terbabit memanjat tangki setinggi 10 meter itu bagi meneruskan kegiatan mencuri penutup bumbung aluminium sebelum diberkas.

Sebelum ini, kepingan bumbung penutup dan alatan penyokong tangki air itu dicuri sebanyak empat kali dan laporan dibuat oleh seorang pegawai SATU daerah Besut di Balai Polis Jerteh.

Pada Selasa, Bernama melaporkan SATU mengalami kerugian lebih RM300,000 apabila alatan penyokong dan bumbung tangki yang diperbuat daripada aluminium dilarikan sejak seminggu lalu.

— BERNAMA

About akarimomar

Bukit Besar, Lorong Mok Pe, Jalan Wireless, Kuala Terengganu Ampang, Selangor SSPS1 1965-1969 SMSSKT 1970-1976 UPM 1977-1981 SIUC 1982-1984 UIS 1985-1987
This entry was posted in Berita, Jenayah & Mahkamah. Bookmark the permalink.

Leave a comment